Tumpuan :
Nasional

Jabatan Pertanian Pahang cari pengusaha projek bawang merah

Pengarah Jabatan Pertanian Pahang, Muhd Rizal Baharom (kanan) ketika melawat kebun bawang merah di Kampung Pasir Sia, Tembeling Tengah, Jerantut. -FOTO: NSTP

JERANTUT: Petani yang berminat mengusahakan projek tanaman bawang merah skala besar dialu-alukan memohon kepada Jabatan Pertanian Pahang bagi mendapatkan bimbingan agensi berkenaan bermula minggu depan.

Pengarah Jabatan Pertanian Pahang, Muhd Rizal Baharom berkata, pihaknya akan menyediakan latihan serta pendedahan terhadap tanaman berkenaan dalam usaha menambahkan lagi kemahiran dikalangan petani.

Menurutnya, jabatan hanya memerlukan peserta yang benar-benar berminat untuk mengusahakan tanaman bawang.

“Ia bagi memastikan projek julung kali diusahakan itu berakhir dengan kejayaan. Pada fasa pertama, jabatan menyasar 20 individu terbabit dengan projek tanaman bawang dengan keluasan lebih 20 hektar.

“Ini akan menjadikan Jerantut sebagai hub pengeluar utama bawang di negeri ini selain mampu mengeluarkan hasil sepanjang tahun.

“Individu di daerah lain turut diberi peluang menyertai projek tanaman bawang sekiranya mereka benar-benar berminat. Mereka boleh merujuk laman Facebook jabatan kami,” katanya selepas melawat projek tanaman bawang merah yang diusahakan sepasang suami isteri, Azhar Arshad dan Haslina Hassan seluas dua hektar di Kampung Pasir Sia, Tembeling Tengah, Jerantut, di sini, semalam.

Muhd Rizal berkata, projek perintis tanaman bawang itu terbukti berjaya berikutan pengusahanya amat komited.

“Jabatan memberi jaminan menyediakan insentif pada peserta selepas mereka menyertai kursus jangka pendek penanaman bawang. Pengetahuan amat penting dalam memastikan projek tanaman bawang menemui kejayaan.

“Dalam sektor agropelancongan, kawasan tanaman bawang dibuka kepada orang awam atau pelancong yang ingin melihat sendiri ladang bawang sambil berpeluang membeli bawang tempatan keluaran Jerantut.

“Kita merancang untuk mengadakan pelbagai aktiviti yang membabitkan bawang yang akan melengkapkan Jerantut sebagai hub bawang di negeri ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini