comscore
Tumpuan :
Nasional

Jadikan DSA, NATSEC pentas rebut peluang pamer keupayaan – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Pengerusi DSA, Tan Sri Asmat Kamaludin. – FOTO: NSTP

Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Syarikat pertahanan tempatan perlu merebut peluang di pentas Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 untuk mempamerkan keupayaan dan inovasi di pentas global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pameran DSA dan NATSEC 2024 memainkan peranan penting dalam membentuk landskap pertahanan negara.

Sehubungan itu, syarikat pertahanan tempatan disaran menonjolkan keupayaan dan kepakaran masing-masing.

“Biarkan pavilion anda menonjol sebagai mercu tanda kecemerlangan, menyerlahkan bukan sahaja kehebatan teknologi tetapi juga komitmen terhadap kerjasama dan perkongsian. Carpe Diem. Rebutlah peluang ini untuk mempamerkan kebolehan dan inovasi kita di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa (MITEC), ibu negara.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut Datuk Seri Anwar lagi acara dan perbincangan dalam tempoh tiga hari itu akan menjadi pemangkin kepada perubahan positif dan ke arah masa depan yang terjamin terutamanya untuk generasi akan datang.

“Saya menggesa semua peserta untuk bersama-sama, berkongsi pengetahuan, berinovasi, bertukar-tukar teknologi dan idea baharu, dan menjalin perkongsian,” katanya.

Acara dwitahunan yang memasuki edisi ke-18 itu disertai 1,324 syarikat pertahanan dan keselamatan membabitkan 60 negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini