BATU PAHAT: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan membantu Maahad Tahfiz Al Johari susulan kejadian asramanya terbakar di Parit Bingan, Parit Raja, pagi tadi.
EXCO Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Khalid berkata, bantuan itu akan disalurkan menerusi Bahagian Pendidikan Islam JAINJ.
Mohd Fared turut menyeru orang ramai membantu pusat pengajian ini agar kembali seperti biasa.
“Saya mendapat tahu Maahad Tahfiz Al Johari. Aras satu yang menempatkan asrama lelaki terkesan keseluruhannya.
“Insya-llah kita akan bantu. Syukur tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dan takziah kepada pengurusan dan anak-anak,” katanya dalam kenyataan.
Awal pagi tadi, asrama menempatkan 29 pelajar musnah dalam kebakaran hingga menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang.
Kejadian berlaku pada jam 8.15 pagi ketika semua pelajar sedang menjalani gotong royong sebelum salah seorang mereka ternampak kipas dan dua katil terbakar.
Difahamkan, pelajar terbabit juga baru tiga hari menyambung semula pengajian selepas cuti sekolah dua minggu lalu.
Ketika ini, semua pelajar terbabit berteduh di tingkat atas masjid maahad tahfiz itu untuk sementara waktu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.