comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] JAINJ, PDRM buru 4 ahli kumpulan Si Hulk hina Islam, Nabi Muhammad

ISKANDAR PUTERI: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan empat ahli kumpulan ajaran sesat Si Hulk, kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW di aplikasi Tiktok, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata JAINJ sudah menerima laporan penularan video berkenaan, semalam.

Katanya, JAINJ membuat laporan polis dan meminta bantuan PDRM bagi mengesan empat lelaki dipercayai berasal dari daerah ini.

Beliau berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan fahaman serta ajaran Si Hulk, yang diasaskan Suhaini Bin Mohammad adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam, sejak Julai 2021.

“Dalam video yang tular itu, dengar seperti mereka sebut Syiah tetapi sebenarnya ia adalah ajaran sesat Si Hulk. Video tular empat lelaki mengenai ajaran Si Hulk ini bermakna ajaran sesat ini masih ada pengikut setia di negeri ini walaupun sudah diharamkan, dua tahun lalu.

“Situasi ini amat membimbangkan, apatah lagi video itu dapat ditonton dengan bebas oleh generasi muda. Oleh itu, JAINJ dan PDRM sedang giat mengesan empat lelaki berkenaan bagi tindakan susulan.

“Kerajaan Johor memberi amaran kepada pelaku di dalam video terbabit dan mana-mana pihak supaya menghentikan penyebaran ajaran sesat ini. Jika tidak, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sejak kelmarin, video tular berdurasi 1 minit 17 saat itu memaparkan empat lelaki mengaku menyokong ajaran Si Hulk dan menyebut beberapa ayat yang menyeleweng akidah, antaranya Nabi Muhammad SAW adalah tuhan.

Dalam pada itu, Mohd Fared, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata, sekurang-kurangnya 21 ajaran sesat dikesan di Johor serta diletakkan dalam senarai fatwa dan warta berkaitan akidah negeri itu.

Antara ajaran sesat yang disenaraikan ialah ajaran Ismail Arifin@lepat, fahaman Hizbut Tahrir, ajaran Azman Samat, ajaran Millah Abraham dan kumpulan Layar Bahtera.

“Orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah diharamkan dan dilarang berpegang dengan fahaman dan ajaran sesat itu.

“Fahaman dan ajaran sesat yang menyeleweng daripada ahli sunnah wal jamaah hendaklah disekat dengan apa cara sekali pun daripada disebarkan di Johor dan mana-mana orang Islam yang terbabit dengan ajaran ini hendaklah bertaubat,” katanya.

Loading...
Terkini