Tumpuan :
Nasional

JAIS akan ambil tindakan tegas terhadap pemungut zakat tanpa tauliah MAIS

Foto hiasan

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan bertindak tegas terhadap individu atau mana-mana pihak yang memungut zakat di negeri itu tanpa tauliah daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, JAIS menyedari ada segelintir individu dan pihak yang menggunakan masjid atau surau yang menamakan kutipan infak mereka sebagai zakat.

Beliau berkata perbuatan sedemikian adalah suatu kesalahan dan penderma yang menderma atas niat zakat adalah tidak sah dan tidak melepaskan kewajipan zakatnya.

“Susulan itu JAIS telah mengeluarkan arahan pematuhan dan langkah kawalan berhubung kutipan zakat, wakaf dan infak di masjid serta surau seluruh Selangor melalui surat pekeliling bertarikh 11 November lepas.

“Pihak pentadbir masjid dan surau boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang kerana melakukan kesalahan dengan menyebabkan perbuatan mengutip zakat tanpa tauliah majlis (MAIS) yang dilakukan oleh individu atau pihak terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan berkata ketegasan JAIS dalam perkara berkenaan selaras dengan Seksyen 37 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau turut mengingatkan tindakan membayar zakat kepada individu atau pihak yang tidak ditauliahkan adalah suatu perbuatan yang tidak melepaskan kewajipan zakat yang wajib, ke atas individu atau pihak yang mengeluarkan zakat itu.

“Perkara ini jelas dan selaras dengan ketetapan hukum yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 8 Ogos 2024 berkaitan ‘Hukum Pihak Yang Tidak Dilantik Atau Diberi Kuasa Yang Sah Membuat Kutipan Zakat Atau Mengagihkannya’ yang telah diperkenankan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya.

Beliau menegaskan kutipan zakat di Selangor adalah sangat penting untuk berada pada jumlah yang signifikan dan setakat September 2024, sebanyak 71,000 keluarga asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang memerlukan dana sebanyak RM1.36 bilion untuk menyantuni mereka dengan pelbagai kaedah serta cara yang wajar.

“Jika dana zakat dikutip dan diagihkan dengan cara yang melanggari ketetapan, ia bukan sahaja mengundang implikasi undang-undang dan ketetapan hukum, bahkan akan menyebabkan berlakunya ketirisan serta kekangan dalam menjamin kelangsungan pembangunan rohani dan sosioekonomi umat Islam di Selangor,” katanya.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini