comscore
Tumpuan :
Nasional

JAIS dijangka bentang laporan berkaitan GISBH minggu depan – Exco 

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Mohammad Fahmi Ngah. – Foto fail

Oleh: Fahmi Tajuddin

PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dijangka akan membentangkan laporan penuh berkaitan fahaman dan kegiatan syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) kepada kerajaan negeri Selangor minggu depan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Mohammad Fahmi Ngah dalam satu kenyataan berkata, sebuah pasukan khas JAIS yang diketuai oleh pengarahnya sedang mengukuhkan keperluan kes terhadap pimpinan GISBH dan individu lain mengikut beberapa seksyen dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

“Saya menjunjung titah keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengenai tindakan wajar yang sedang diambil oleh pihak berkuasa negeri dan Persekutuan dalam isu GISBH terutamanya kebajikan kanak-kanak, wanita dan isu berkaitan agama Islam.

“Pihak JAiS akan membentangkan laporan penuh kepada saya pada minggu hadapan mengenai tindakan-tindakan yang telah, dan akan diambil selaras dengan titah Sultan Selangor,” katanya.

Mohammad Fahmi juga memaklumkan, beliau akan diberi taklimat langkah-langkah mengekang kegiatan berkaitan sekolah agama dan tahfiz GISBH di Selangor termasuk mendengar profil 30 rumah amal di bawah kendalian syarikat itu.

“Ia (laporan) termasuk tentang dakwaan berlakunya perlantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dari kalangan ahli GISBH di sebuah masjid di Rawang dan isu surau Al Ikhwan,” tambahnya.

Mohammad Fahmi juga menasihati orang ramai untuk berwaspada terhadap penampilan, kepetahan bersyarah, serta penyebaran doktrin atas nama agama. Ini kerana terdapat individu yang memanfaatkan elemen tersebut untuk tujuan kepentingan peribadi.

Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan berita berkaitan siasatan polis terhadap kegiatan jenayah oleh GISBH dan rangkaiannya.

Sehubungan itu, baginda bertitah semua rumah amal dan sekolah Islam kelolaan GISBH  yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat kegiatan jenayah termasuk syariah, diarah ditutup segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor sebagai langkah pencegahan bagi mengelak kanak-kanak yang terlibat daripada terus dianiayai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini