Oleh Aslina Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Tindakan tidak bertanggungjawab menyebar kitab injil dalam bentuk komik kepada kanak-kanak dengan harga murah di kedai yang menjadi tumpuan umum seolah-olah mencabar undang-undang negara.
Mana tidaknya, isu lama itu bangkit kembali apabila baru-baru ini tular sebuah video seorang individu menunjukkan buku yang didakwa dibeli oleh pelajar tahun satu adalah Injil yang dicetak dalam bentuk komik.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, setakat pemantauan yang dilaksanakan, pihaknya masih belum menemui lokasi buku itu dijual di negeri berkenaan.
“Saya sudah pun mengarahkan Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (RND) JAIS melakukan pemantauan ke semua premis penjualan buku termasuk kedai RM2 untuk menyiasat isu ini.
“Malah, kami juga sedang melakukan siasatan untuk mengesan pihak yang tidak bertanggungjawab ini”. katanya ketika dihubungi Buletin TV3 hari ini.
Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berharap umat Islam lebih berhati-hati supaya tidak tertipu dengan dakyah yang boleh memesongkan mereka.
Katanya, golongan tidak bertanggungjawab itu dilihat semakin berani melakukan penyebaran dengan menjualnya di kedai yang menjadi tumpuan ramai dengan harga murah.
Ia sekaligus menunjukkan mereka tidak menghormati undang-undang dan peraturan mengenai kesalahan menyebarkan agama bukan Islam kepada umat Islam.
” Kita mengharapkan pihak berkuasa menahan penyebaran buku ini dan mengambil tindakan kerana dalam peraturan negara, orang-orang yang beragama selain Islam, tidak boleh menyebarkan agama mereka kepad orang-orang Islam.
” Negara kita memberikan kebebasan kepada mereka untuk menyebarkan agama sesama mereka namun untuk menyebarkan kepada orang Islam adalah satu kesalahan. Oleh itu, kita mengharapkan pihak berkuasa mengharamkan penyebaran sebegini.” katanya.
Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan Jamali Mohd Adnan berkata, setiap negeri mempunyai undang-undang yang mencegah penyebaran agama bukan Islam kecuali di empat negeri iaitu Wilayah Pesekutuan, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang.
“Isu ini sudah lama berlaku di dalam negara, pelbagai usaha dilakukan bagi mengekang masalah ini.
“Bagaimanapun, negeri yang mempunyai undang-undang tidak boleh menyebar agama selain Islam, jika mereka mendapati kegiatan ini berlaku di negeri mereka samada secara diam atau terbuka, mereka perlu segera melaporkan kepada pihak berkuasa termasuk polis.