SHAH ALAM: Sebanyak 689 paket makanan ringan disyaki mengandungi campuran ganja, bunga ganja, cendawan dan cecair rokok elektronik dianggarkan bernilai RM6.2 juta antara yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah unit kondominium di Damansara di sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya terdahulu menahan seorang lelaki berusia 37 tahun bersama 8.5 kilogram (kg) ganja di hadapan kondominium, kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 6 November lalu.
“Susulan penahanan itu, suspek membawa polis ke sebuah unit kondominium dan merampas 689 paket makanan ringan disyaki mengandungi campuran ganja seberat 37.96 kg; bunga ganja (140.9 kg); cendawan disyaki mengandungi dadah (847 gram) dan cecair rokok elektronik dengan campuran ganja (80 mililiter).
“Semua rampasan dadah ini dianggarkan bernilai RM6.2 juta dan dipercayai untuk dipasarkan dalam dan luar negara,” katanya pada sidang media di MES Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai pegawai pemasaran sebuah syarikat digital juga dipercayai aktif sejak setahun lalu.
Katanya, hasil semakan juga mendapati bapa kepada dua cahaya mata itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lalu dan saringan awal air kencing juga negatif.
“Sindiket ini agak berbeza yang mana bekalan dadah diperoleh suspek menerusi perkhidmatan kurier dari beberapa negara dan bukan melalui darat seperti yang biasa kita kesan.
“Suspek bertindak membungkus semula bekalan dadah yang diperoleh untuk pasaran tempatan di Selangor, beberapa negeri dalam negara dan negara jiran yang mana ia dijual secara atas talian.
“Dia beroperasi secara seorang diri yang pada awalnya di rumah sebelum menyewa sebuah kondominium,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah kereta Proton X50 bernilai RM76,000.
“Suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.