comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] JAKIM diminta pendekkan proses sijil halal ke 15 hari


JOHOR BAHRU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diminta memendekkan tempoh memproses pensijilan halal kepada 15 hari berbanding 23 hari, sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia boleh dilakukan susulan kejayaan JAKIM memendekkan tempoh memproses pensijilan halal daripada 30 hari kepada 23 hari, tahun lalu.

Katanya, sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan JAKIM memendekkan pengeluaran persijilan halal ke 30 hari, dua tahun lalu.

FOTO: NSTP

“Tahniah JAKIM kerana mereka sambut cabaran (PM) dan kini berjaya pula memproses sijil halal hanya dalam masa 23 hari kelulusan tahun lalu, berbanding 30 hari.

“Ini adalah kejayaan cukup baik dan tentunya apa yang kita mahu selepas Halal On Track (HOT) ini dilancarkan, diharapkan lebih banyak kelulusan permohonan sijil halal dapat diluluskan.

“Saya sudah arahkan MARA (Majlis Amanah Rakyat) untuk peruntukan RM5 juta setahun untuk bantu pemohon (persijilan halal) mengikuti model bimbingan JAKIM supaya permohonan persijilan halal dapat dikeluarkan dalam tempoh masa singkat.

“Jika JAKIM dibantu dengan model bimbingan ini sudah pasti sijil halal dapat diberi kelulusan bukan setakat 23 hari malah saya cabar JAKIM dapat keluarkan (sijil halal) dalam tempoh 15 hari bekerja selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Halal On Track 2024@Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (PERSADA) Johor Bahru di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Pada 13 Oktober 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan akan memendekkan tempoh memproses pensijilan halal kepada 30 hari daripada 51 hari sebelum ini.

Datuk Seri Anwar dilaporkan berkata, Halal Development Corporation (HDC) bersama JAKIM akan menerajui usaha memudah cara pemprosesan pensijilan halal khususnya untuk pengeksport produk halal.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, beliau yakin JAKIM mampu memendekkan pemprosesan sijil halal ke 15 hari daripada 23 hari ketika ini.

Terdahulu, Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, melancarkan i-Bimbing 2.0, untuk membantu usahawan industri halal negara menilai tahap kesediaan mereka sebelum memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia sekali gus memendekkan proses persijilan halal dikeluarkan.

i-Bimbing 2.0 adalah edisi penambahbaikan fungsi i-Bimbing halal yang telah dilancarkan 2023 oleh Datuk Seri Ahmad Zahid.

Dalam pada itu, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, Hal-Cube yang dilancarkan hari ini adalah inisiatif Bank Islam disokong JAKIM bagi mempersiapkan usahawan memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

“Hal-Cube menawarkan usahawan premis produksi yang mampu milik dan lengkap berbentuk dapur kontena sebagai usaha memudahkan mereka memenuhi kriteria digariskan JAKIM sekali gus mempercepatkan pengeluaran sijil halal kepada mereka,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini