comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] JAKIM sambut baik saranan kerajaan percepat urusan permohonan Sijil Halal

 

Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyambut baik saranan kerajaan agar satu mekanisme perlu dilaksanakan bagi mempercepatkan proses pengeluaran sijil halal.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata beberapa perbincangan telah dilakukan bersama pihak Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berkaitan Persijilan Halal itu pada April lalu.

“Kita telah ada beberapa tindakan serta perbincangan dengan pihak MPC, antaranya meneliti prosedur yang mana kita boleh cuba permudahkan tanpa berkompromi dengan keperluan syariah dan juga standard halal.”

“Kita juga bersama MPC untuk membantu meneliti perkara berkenaan dan ada juga kita tambah baik urusan dalam proses persijilan halal dengan buat ‘fast track’ dan ‘whitelist’ kepada pemohon.” katanya selepas merasmikan majlis penutupan Celik Halal Malaysia bersama Imam peringkat kebangsaan 2023 di sini, hari ini.

Mac lalu, Mesyuarat Majlis Halal Malaysia sepakat bersetuju bahawa satu mekanisme atau proses baharu perlu dilaksanakan bagi mempercepatkan proses pengeluaran sijil halal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengeluaran sijil halal ketika ini mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk diluluskan berikutan beberapa kekangan termasuk kerenah birokrasi.

Ditanya berkenaan proses permohonan pengeluaran sijil halal yang didakwa mengambil masa yang lama itu, Datuk Hakimah menegaskan ia hanya melibatkan kes tertentu sahaja iaitu apabila berlaku ketidakaturan dalam permohonan.

“Kita tidak nafikan ada berlaku juga (kelewatan). Piagam pelanggan yang kita tetapkan adalah sebulan selepas pihak syarikat membuat pembayaran. Jadi ia akan masuk dalam proses pengauditan tapi kelewatan itu kita lihat ada kaitan dengan pematuhan industri sendiri.”

“Sebaik kita buka audit, berlaku ketidakaturan dan apabila berlaku perkara itu, sudah tentu kita memberi tempoh masa untuk mereka membuat perbetulkan dan sesetengah pemohon mengambil masa yang lama, memohon pelanjutan tempoh dan sebagainya.”

“Kita sebagai pihak yang ingin membantu mereka ini, kita memberi peluang untuk mereka ambil masa menutup ketidakaturan tersebut. Itu antara antara faktor yang melewatkan proses pengeluaran sijil halal,” ujarnya

Loading...
Terkini