comscore
Tumpuan :
Nasional

JAKIM serah pemantauan GISBH kepada polis

Datuk Dr Sirajuddin (dua dari kiri) menerima sumbangan rakyat Sarawak daripada Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha untuk disalurkan kepada rakyat Palestin. FOTO: NSTP

KUCHING: Jabatan Kemajuan Malaysia (JAKIM) menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memantau aktiviti berkaitan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, tumpuan JAKIM kini terarah kepada usaha pemulihan untuk membantu mereka yang dikenal pasti sebagai mangsa yang ingin kembali ke pangkal jalan.

“JAKIM bersama dengan PDRM dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pemantauan serta tindakan (berkait GISBH) kita serahkan sepenuhnya kepada pasukan keselamatan itu.

“Ketika ini JAKIM menumpukan kepada usaha pemulihan untuk membantu mereka yang dikenal pasti sebagai mangsa yang ingin kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Umat Islam Sarawak Untuk Rawatan Perubatan Kepada Rakyat Palestin Melalui Tabung Jumaat Masjid dan Surau di Ibu Pejabat Majlis Islam Sarawak, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengakui pemantauan terhadap GISBH akan terus dijalankan meskipun papan tanda di semua premis berkaitan kumpulan itu sudah diturunkan sejak Op Global dilancarkan.

Mengulas mengenai rehabilitasi, beliau berkata, kerajaan menawarkan program itu secara sukarela kepada ahli GISBH untuk mereka kembali ke ajaran Islam yang sebenar.

Justeru, katanya, pendaftaran dibuka secara dalam talian di pautan http://form.jotform.com/242760538389468 atau mengimbas kod QR yang disediakan.

Selain itu, mereka juga boleh hadir mendaftar di mana-mana Pejabat Agama Islam Negeri, pejabat JAKIM dan di Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh negara.

Mengenai sumbangan masjid dan surau seluruh Sarawak untuk Palestin itu, Sirajuddin berkata, JAKIM dan Kerajaan Persekutuan menghargai usaha kutipan itu.

“Kami akan usaha untuk mengagihkan sumbangan melalui saluran yang boleh dipercayai untuk kita hantar ke sana (Palestin),” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, berkata sumbangan itu adalah hasil kutipan pada solat Jumaat pada 9 dan 16 Ogos lalu di 1,617 masjid dan surau seluruh Sarawak.

“Sejumlah RM310,000 berjaya dikutip pada dua solat Jumaat itu dan kita serahkan kepada JAKIM untuk menguruskan penyalurannya bagi meringankan beban mereka yang memerlukan khususnya bagi menampung kos rawatan perubatan dan inilah usaha kita membantu mangsa peperangan di Palestin.

“Selain itu, semua masjid di Sarawak juga masih meneruskan bacaan Qunut Nazilah bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat negara itu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini