comscore
Tumpuan :
Nasional

Jakim siasat isu letak daging babi di kaunter umum

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengambil langkah awal bersama pihak berkuasa negeri susulan tular video memaparkan jualan daging babi yang tidak diasingkan, diletakkan di kaunter umum di sebuah premis runcit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan, siasat lanjut mengenai pengendalian ‘pork slice’ atau potongan daging babi itu telah dijalankan bagi memastikan isu tersebut ditangani dengan baik.

“Jakim mengambil maklum mengenai isu video tular melalui media sosial berkenaan kaedah pengendalian produk tidak halal di sebuah premis runcit yang dipercayai berlaku di sebuah negeri utara tanah air. Jakim memberi perhatian penuh terhadap isu yang menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna Muslim yang mengunjungi premis tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, premis peruncitan bukanlah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan Jakim tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis berkonsepkan peruncitan.

Dalam video tular di TikTok, seorang pengguna mendedahkan tindakan sebuah pasar raya yang gagal menjaga sensitiviti umat Islam apabila tidak mengasingkan kaunter jualan produk tersebut menyebabkan air daripada produk sejuk beku tidak halal itu mencemari kaunter umum.

Sehubungan itu, Datuk Mohd Na’im menasihatkan orang ramai khususnya masyarakat Muslim agar terus berwaspada dan pastikan memilih premis atau produk yang disahkan halal dan selamat.

Loading...
Terkini