comscore
Tumpuan :
Nasional

JAKIM sokong, perluas program #GengSubuhMacamJumaat

Mohd Na’im (dua dari kiri) menyampaikan bantuan pasca banjir kepada 150 penduduk di Kampung Sungai Telor di sini, hari ini. – Foto: NSTP

KOTA TINGGI: Usaha mengimarahkan masjid terutama menerusi pelaksanaan #GengSubuhMacamJumaat seperti yang dilakukan pelbagai pihak, termasuk pelakon dan penyanyi, Alif Satar mendapat sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, JAKIM juga akan menggunakan ‘tagline’ yang digunakan pengacara itu dalam usaha mengajak anak muda dan orang ramai ke masjid.

Katanya pengimarahan itu akan dimulakan di tiga masjid dibawah kelolaan JAKIM iaitu Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya serta Masjid Negara di Kuala Lumpur bermula 27 Januari ini.

“Kita akan mengekalkan ‘tagline’ yang digunakan Alif Satar, di peringkat persekutuan JAKIM dengan tiga masjid utama ini, kita akan bergerak ke semua masjid ini untuk menyokong.

“Kita akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang berbuat kebaikan, sebab itu saya mengharapkan golongan belia macam Alif Satar dengan status dia sebagai selebriti, membawa anak-anak muda ini (ke arah kebaikan).

“Datuk Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) dan (Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor) Mohd Fared Mohd Khalid semalam pun ada sebut, masa Menteri Besar hadir (pada Program Semarak Subuh) semalam, hampir menitis air mata terharu sebab lihat kebanyakan yang hadir semalam adalah anak-anak muda. Subhanallah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Agihan Misi Bantuan Pasca Banjir Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Kampung Sungai Telor di sini, hari ini.

Mohd Na’im berkata, pengimarahan masjid seperti dilakukan Johor menerusi Program Semarak Subuh yang berjaya menghimpunkan lebih 12,000 jemaah di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn akan diteruskan di peringkat persekutuan.

“Di peringkat persekutuan membabitkan tiga masjid ini, insya-Allah kita akan mulakan pada 27 Januari ini dan secara berterusan.

“Alhamdulillah, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan pada saya jika beliau ketika itu berada di Wilayah persekutuan, beliau untuk sertai sekali,” katanya.

Di Johor, Program Semarak Subuh adalah inisiatif Onn Hafiz, mula dilaksanakan 5 Januari tahun ini dengan pelaksanaan di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri Johor dengan peruntukan berjumlah RM560,000, membabitkan 838 masjid dan 1,942 surau di seluruh Johor.

Sementara itu, bagi kempen #GengSubuhMacamJumaat yang dimulakan Alif sejak Disember tahun lalu, juga mula menjadi ikutan ramai dan turut digerakkan pempengaruh lain di seluruh negara.

Loading...
Terkini