KUALA NERUS: Jalan pantai menghubungkan Batu Rakit/Mengabang Telipot di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini, terputus akibat hakisan selepas dibadai ombak kuat malam tadi.
Berikutan itu, pengguna boleh melalui jalan utama Kuala Terengganu-Kota Bharu untuk ke kampung berkenaan atau bandar Kuala Terengganu.
Hakisan yang semakin teruk akibat fenomena air pasang besar dan ombak kuat itu turut meresahkan penduduk berhampiran kawasan pantai.
Penduduk, Ab Wahab Abdullah, 65, berkata dia bimbang rumah yang dibina pada 2011 lalu akan hilang akibat hakisan suatu hari nanti.
Katanya, setiap malam dia dan isteri, Maimun Johar, 56, tidak senang duduk apabila rumah yang hanya kira-kira 25 meter daripada jalan bergegar setiap kali ombak menghempas kawasan jalan.
“Saya tidak pernah terfikir yang kawasan ini juga terkesan akibat hakisan selepas kali pertama hakisan berlaku di Kampung Tanjung Gelam yang jaraknya kira-kira lebih tiga kilometer daripada kampung.
“Sekali ombak datang bergegar rumah, memang takut tetapi terpaksa hadapi semua ini kerana hanya rumah ini sahaja yang kami ada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini, hari ini.
Menurutnya, jalan berkenaan runtuh sepenuhnya dibadai ombak besar kira-kira jam 12 tengah malam tadi.
Dalam pada itu katanya, kawasan di hadapan rumahnya sebelum ini dikenali sebagai Tanjung Walk menjadi tumpuan ramai termasuk penggambaran drama dan filem, namun kini semuanya hanya tinggal kenangan.
Katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan segera dan mempercepatkan projek pembinaan pulau tiruan di sepanjang pantai berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.