comscore
Tumpuan :
Nasional

Jalan rosak bahayakan nyawa penduduk Pos Tuel

FOTO: NSTP

GUA MUSANG: Lebih 1,000 penduduk Pos Tuel di sini, terdedah dengan risiko kemalangan apabila terpaksa melalui jalan yang runtuh sejak hampir sebulan lalu.

Penduduk mendakwa jalan yang menghubungkan Pos Hendrop dan Pos Tuel itu runtuh sebahagiannya kerana sering dilalui kenderaan berat.

Tinjauan mendapati jalan itu runtuh sebahagiannya dan berada di kawasan bukit yang boleh membahayakan pengguna terutama pada waktu malam kerana tidak ada lampu sepanjang laluan itu.

Penghulu Kampung Hanir, Pos Tuel, Razak Ronggeng, 41, berkata setiap hari penduduk terpaksa melalui laluan yang rosak dan berbahaya itu.

FOTO: NSTP

Katanya, kejadian tanah runtuh disedari pada waktu pagi semasa penduduk mahu menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan Pos Hendrop yang jaraknya kira-kira 14 kilometer dari Pos Tuel.

“Laluan ini adalah jalan utama kami untuk keluar dari Pos Tuel dan digunakan setiap masa tidak kira siang atau malam.

“Jika dulu jalan ini hanya digunakan oleh penduduk kampung yang berulang alik menghantar anak ke sekolah atau keluar ke bandar Gua Musang.

“Namun, sejak adanya kebun sayur di Pos Tuel, banyak kenderaan berat mula melalui sehingga menyebabkan mendapan dan apabila hujan, jalan akan runtuh,” katanya ketika ditemui di Pos Tuel, di sini.

Penduduk Kampung Ber, Asu Jenang, 60, berkata terdapat lebih 1,000 penduduk Pos Tuel yang menggunakan laluan itu membabitkan beberapa kampung antaranya Kampung Hanir, Kampung Ber dan Kampung Poh.

“Keadaan jalan yang runtuh itu sangat membahayakan nyawa pengguna terutama waktu malam kerana terletak di kawasan berbukit. Kami harap pihak berwajib dapat menyegerakan membaik pulih jalan yang rosak untuk menjamin keselamatan penduduk.

“Pada saya pihak pekebun juga perlu bertanggungjawab akan masalah ini kerana setiap hari lori yang membawa keluar sayur menggunakan jalan itu,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim,berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk berkenaan jalan rosak setiap tahun sejak tiga tahun lalu dan aduan itu sudah diketengahkan kepada pihak berwajib dan kerja baik pulih sudah dilakukan.

“Apabila mendapat aduan daripada pemimpin tempatan ada tiga saluran yang kita angkat permohonan, yang pertama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), kedua Pejabat Pembangunan Negeri dan seterusnya kepada Pejabat Tanah dan Jajahan. Sepengetahuan saya jalan ini sudah pun diperbaiki cuma kawasan itu panjang jadi kerosakannya berlaku di lain-lain tempat.

“Harapan saya supaya tindakan segera dapat diambil terutamanya yang membabitkan nyawa dan keselamatan kerana penduduk akan tetap melalui jalan itu kerana inilah satu-satunya jalan yang menghubungkan penduduk Pos Tuel,” katanya.

Loading...
Terkini