comscore
Tumpuan :
Nasional

Jalan rosak, dua minggu tidak boleh keluar

FOTO: Ihsan Penduduk

GUA MUSANG: 1,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Gob bimbang apabila jalan yang menghubungkan ke pos terbabit rosak kerana hujan sejak dua minggu lalu.

Penduduk mendakwa mereka tidak boleh keluar untuk membeli barang keperluan dan terpaksa berjimat kerana tidak tahu bila mereka boleh keluar untuk membeli makanan.

Menurut Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Aman Angah, 32, walaupun ada penduduk yang keluar namun mereka terpaksa berhadapan dengan risiko motosikal yang dinaiki rosak dan terpaksa bermalam di dalam hutan.

Malah sekiranya berlaku kenaikan air Sungai Gob dan Sungai Puyan mereka terpaksa menunggu sehingga air surut baru boleh melaluinya untuk keluar dari pos terbabit.

“Sejak dua minggu lalu kami tidak dapat keluar kerana hujan berterusan yang menyebabkan jalan rosak teruskan dan licin. Sangat berisiko untuk kami melaluinya tambahan pula dengan motosikal.

“Jadi sejak dua minggu lalu kami hanya makan apa yang ada seperti ubi kayu dan berjimat dengan bekalan makanan yang ada kerana tidak dapat keluar seperti biasa.

“Jika terdesak kami akan keluar menggunakan motosikal dan terpaksa bermalam di tengah jalan yang mengambil masa lebih lima jam,” katanya.

FOTO: Ihsan Penduduk

Tambahnya lagi dia juga menasihatkan penduduk untuk sentiasa berhati-hati pada musim hujan terutama ketika ke sungai untuk menangkap ikan.

Bagi penduduk Kampung Gob, Roslan Along, 54, berkata kerana keadaan jalan yang rosak teruk dan cuaca hujan kini penduduk Orang Asli sudah tidak dapat keluar membeli makanan.

Katanya, dia berharap pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dapat membantu penduduk Orang Asli yang kini buntu memikirkan keadaan diri dan keluarga kerana bekalan makanan semakin berkurang.

“Kerana hujan yang berterusan juga kami tidak boleh keluar ke kebun seperti biasa.

Hanya berada di rumah setiap masa.

“Saya harap tahun depan kalau boleh kerajaan buatlah jalan berturap batu dari Pos Simpor hingga ke Pos Gob supaya mudah untuk kami keluar dan masaperjalanan juga semakin singkat.

“Malah tujuh jambatan keluli yang dijanjikan siap pada bulan Ogos lalu tiga daripadanya masih belum siap, sedangkan kami harapkan ia siap sebelum musim tengkujuh tiba,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini