comscore
Tumpuan :
Nasional

Jalan terhakis bimbangkan penduduk kampung

Foto NSTP – Keadaan tebing jalan yang terhakis akibat banjir yang kerap di jalan utama menuju Kampung Jimah Lama, Port Dickson.

PORT DICKSON: Masalah jalan utama yang terhakis dan runtuh akibat hujan lebat di Kampung Jimah Lama di sini sejak seminggu lalu membimbangkan penduduk setempat.

Apatah lagi jalan terbabit menjadi laluan utama penduduk sama ada untuk keluar bekerja atau ke bandar Seremban.

Seorang penduduk, Md Nor Abdul Halim, 56, mengakui bimbang sekiranya jalan utama itu rosak sepenuhnya sekiranya tidak dibaiki segera.

“Bersebelahan jalan ini adalah Sungai Jimah dan ladang sawit serta sebuah kilang yang tidak mempunyai saluran air yang cukup untuk menampung setiap kali hujan lebat.

“Kerap kali kawasan ini banjir hingga terputus hubungan dan akhirnya tebing jalan runtuh yang membahayakan pengguna jalan terutama penduduk kampung,” katanya ketika ditemui.

Pengerusi Masjid Kampung Jimah Lama, Mohamad Abdul Latif pula mengharapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau wakil rakyat segera membantu menyelesaikan masalah ini.

“Memang banjir kerap berlaku di kampung ini terutama di kawasan berhampiran sungai, namun sejak akhir-akhir ini jalan terbabit kerap dinaiki air setiap kali hujan lebat.

“Kami berharap pihak berkuasa segera bertindak sebelum keadaan menjadi semakin teruk,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa, berkata runtuhan tebing di laluan Jalan Kampung Jimah Lama berpunca hakisan disebabkan aliran air sungai bersebelahan jalan dan juga limpahan air dari kawasan kebun berdekatan.

“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Seremban akan melaksanakan kerja pembaikan hakisan tebing dengan segera.

“Perlantikan kontraktor sudah dilaksanakan semasa proses cabutan undi fasa satu baru-baru ini dan saya berharap ia dapat membantu penduduk setempat,” katanya.

Loading...
Terkini