comscore
Tumpuan :
Nasional

Jalan utama Kuala Balah-Jeli runtuh, laluan ditutup

FOTO: NSTP/ Ihsan bomba

JELI: Jalan utama yang menghubungkan Kuala Balah ke Jeli di Kampung Kubur Datu di sini, runtuh hari ini dan ditutup kepada semua kenderaan.

Runtuhan sepanjang lima meter itu berlaku pada jam 3.30 petang, menyebabkan kedua-dua laluan tidak boleh dilalui kenderaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, jalan itu digunakan oleh penduduk untuk keluar ke bandar Jeli termasuk ke hospital, bank dan membeli barangan keperluan.

Katanya, laluan itu juga adalah jalan pintas kebanyakan kenderaan dari Jeli, Tanah Merah, Rantau Panjang untuk ke Gua Musang bagi perjalanan ke Kuala Lumpur.

FOTO: NSTP/ Ihsan bomba

“Pihak kita mendapat makluman jalan di lokasi itu berlaku lubang besar atau sinkhole dan pemantauan sudah dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Jeli (JKR) dalam satu kenyataan memaklumkan, jalan Persekutuan di Kampung Kubur Datu ditutup kepada semua lalu lintas di kedua-dua arah.

“Penutupan jalan itu bermula hari ini sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak. Penutupan jalan terlibat adalah kerana laluan itu mengalami runtuhan di kedua-dua belah jalan akibat daripada lubang (sinkhole).

“Sehubungan itu, papan tanda pemberitahuan akan dipasang di tapak untuk panduan pengguna jalan raya. Pengguna boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Gua Musang-Kuala Krai-Kota Bharu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, JKR berharap agar semua pengguna mematuhi tanda arah dan papan tanda keselamatan yang disediakan.

“Kerjasama sepenuhnya daripada semua pengguna jalan raya amat diharapkan. Untuk maklumat lanjut, boleh berhubung JKR Jeli di talian 09-9440140,” katanya.

Loading...
Terkini