comscore
Tumpuan :
Nasional

Jambatan Bailey di Jalan Kuantan-Segamat sudah boleh dilalui

Kakitangan JKR memindahkan komponen jambatan bailey sebelum dipasang Jalan Kuantan-Segamat, dekat Pekan, pada januari lalu selepas kejadian jalan mendap sebelum itu.- Foto fail NSTP

KUANTAN: Jambatan Bailey di Seksyen 102, Jalan Kuantan-Segamat yang ditutup pada 29 April lalu bagi tujuan penyelenggaraan, mula dibuka semula pada jam 4 petang tadi.

Menerusi hantaran Facebook Jabatan Kerja Raya (JKR) Pekan hari ini, kerja penyelenggaraan Jambatan Bailey siap sepenuhnya bagi memberikan kemudahan kepada pengguna jalan raya melaluinya.

“Laluan terbabit dibuka sepenuhnya kepada pengguna jalan raya mulai jam 4 petang pada 1 Mei 2024 (hari ini) dibuka dua hala kepada kenderaan dengan had muatan yang dibenarkan adalah tidak melebihi 20 tan.

“Sehubungan itu, pengguna jalan raya ini dinasihat berhati–hati ketika melalui laluan berkenaandan sentiasa mematuhi arahan papan tanda yang telah disediakan,” menurut hantaran itu.

Baru-baru ini, JKR memaklumkan peningkatan jumlah kenderaan berat termasuk melebihi had muatan 20 tan yang melalui jalan itu pada Aidilfitri lalu dikenal pasti sebagai punca kerosakan plat keluli Jambatan Bailey berkenaan.

Kerja pembaikan kerosakan hanya sesuai dilaksanakan selepas musim perayaan berikutan pembaikan Jambatan Bailey akan membabitkan penutupan keseluruhan jalan di lokasi itu dengan mengambil kira aliran trafik semasa yang tinggi.

Pada 7 Januari lalu, laluan itu ditutup berikutan mendapan tanah dikesan di laluan terbabit sehingga menyebabkan laluan berkenaan berlubang dan hampir putus.

Selepas itu pada 27 Januari lalu, laluan itu kembali dibuka semula selepas Jambatan Bailey terbabit dibuka dua hala kepada kenderaan dengan had muatan dibenarkan tidak melebihi 20 tan dan had kelajuan 30 kilometer sejam (km/j).

Jambatan Bailey jenis Acrow 700XS itu dengan kelebaran 9.3 meter dibina sepanjang 30.48 meter. Difahamkan, ia akan dikekalkan di tapak berkenaan sehingga penyelesaian jangka panjang diambil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini