comscore
Tumpuan :
Nasional

Jambatan kabel tertinggi di Malaysia dijangka siap Julai tahun depan

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas apabila siap kelak, Jambatan Batang Lupar II juga bakal menjadi mercu tanda baharu daerah Sri Aman yang sebelum ini terkenal dengan fenomena benak. – FOTO: Ihsan JKR Sarawak

SRI AMAN: Jambatan Batang Lupar II di sini, yang dijangka siap pembinaannya pada Julai tahun depan, bakal menjadi jambatan kabel tertinggi di negara ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata proses pembinaannya sudah pun 42.65 peratus siap, 14 hari lebih awal dari jadual asal.

Menurutnya, apabila siap kelak, jambatan berkenaan juga bakal menjadi mercu tanda baharu daerah Sri Aman yang sebelum ini terkenal dengan fenomena benak.

Dalam masa sama, beliau berharap jambatan berkenaan akan dapat mengangkat nama Sri Aman ke peringkat lebih tinggi dalam kalangan penduduk luar apabila ia beroperasi kelak.

“Jambatan kabel terbabit akan mewujudkan rangkaian jalan raya baharu sejauh 24 kilometer menghubungkan Sri Aman ke Betong dan seterusnya ke jajaran Lebuhraya Pan Borneo yang bersambung ke Jalan Utama Kedua (STR) di Ulu Paku, Betong.

“Rangkaian jalan raya baharu ini sudah pastinya membantu kita membuka kawasan baharu bagi tujuan aktiviti pertanian moden dan aktiviti ekonomi lain di samping memendekkan masa perjalanan dari Sri Aman ke Betong kepada 20 minit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis ‘Celebration Of Safe Manhour Without Lost Time Injury (LTI)’ di sini, hari ini.

Ia berkaitan dengan pelaksanaan Projek Pakej B1: Cadangan Lebuhraya dari Sebuyau ke Lingga, Sri Aman dan Bahagian Sri Aman serta Pakej B1A: Cadangan Pembinaan Jambatan Sungai Lingga dan Jalan Menuju Ke Lingga.

Terdahulu, Uggah turut melakukan lawatan ke atas tapak projek pembinaan Jambatan Batang Lupar II sepanjang 870 meter dengan ketinggian 145.5 meter, di Jalan Sembauh, Sri Aman.

Projek terbabit membabitkan kos sebanyak RM223.6 juta dan pembinaannya dimulakan pada 23 Mac 2020.

Beliau juga merasmikan majlis pecah tanah projek pakej B2 Fasa 1: Cadangan Pembinaan Jalan Kejatau ke Jambatan Batang Lupar II di perkarangan bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis; Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie dan Pengerusi Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Datuk Rohani Abdul Karim.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini