comscore
Tumpuan :
Nasional

Jambatan Kampung Temalir runtuh akibat arus deras

FOTO: NSTP

Kuala Krai: Jambatan yang menghubungkan dua kampung iaitu Kampung Temalir dan Kampung Temalir Lama runtuh susulan arus deras Sungai Pahi pada Jumaat lalu.

Keadaan itu sekaligus menyebabkan lebih 100 penduduk yang tinggal di Kampung Temalir Lama terpaksa menggunakan jalan tidak diturap sejauh lima kilometer yang hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke bandar Kuala Krai.

Penduduk Mohd Roslizi Salleh, 49, berkata, pada tengah malam Jumaat lalu hujan lebat berterusan menyebabkan paras air Sungai Pahi naik mendadak sehingga menenggelamkan jambatan berkenaan sedalam dua meter.

“Selama dua hari penduduk di dua kampung terputus hubungan susulan jambatan ditenggelami air dan selepas air mulai surut saya terkejut melihat sebahagian jambatan runtuh dan berada dalam keadaan senget akibat rempuhan sisa-sisa kayu yang dibawa bersama arus deras dan sehingga hari ini masih belum boleh dilalui oleh semua kenderaan.

“Ada penduduk yang terpaksa meninggalkan motosikal mereka di seberang jambatan dan perlu menggadai nyawa berjalan kaki meniti jambatan ini untuk ke kampung bersebelahan,” katanya ketika ditemui di Jambatan Kampung Temalir, di sini, hari ini.

Penduduk kampung meninjau keadaan jambatan di Kampung Temalir yang menghubungkan dua kampung yang runtuh susulan arus deras Sungai Pahi pada Jumaat lalu. – FOTO: NSTP

Katanya, dalam kejadian banjir yang berlaku pada Mac lalu, sebahagian jambatan besi ini runtuh akibat dibadai arus sungai yang deras.

“Pada ketika itu penduduk bergotong-royong menyambung kembali sebahagian jambatan yang ini runtuh menggunakan papan, kayu dari pokok kelapa dan juga pokok durian bagi memudahkan urusan penduduk untuk berulang alik.

“Pada tahun ini, sudah tiga kali jambatan ini ditenggelami air sungai dan pada minggu lalu jambatan yang dibina menggunakan papan ini hampir runtuh dan bagi mengelakkan ia dihanyutkan arus, penduduk terpaksa mengikat jambatan ini menggunakan kabel,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mansor Mustafa, 58, berkata, apabila jambatan itu rosak atau ditenggelami banjir, aktiviti penduduk terganggu apabila mereka terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh dan tidak dapat dinafikan setiap kali hujan lebat atau musim tengkujuh jambatan ini sering kali ditenggelami air .

“Ada penduduk di kawasan ini pernah terjatuh ke dalam sungai bersama motosikal ketika menyeberangi jambatan. Mangsa bernasib baik terselamat kerana arus sungai ketika itu tidak deras selain paras air juga tidak dalam.

“Sebelum ini jambatan ini sudah beberapa kali dibaik pulih, namun arus deras Sungai Pahi menyebabkan tebing dan sebahagian jambatan ini runtuh,” katanya.

Katanya, sekiranya hujan lebat dan arus sungai deras berlaku sekali lagi, tidak mustahil keseluruhan jambatan ini akan pecah dan dihanyutkan.

“Justeru itu, saya amat berharap jambatan besi ini di naik taraf sekaligus memudahkan urusan harian penduduk,” katanya.

Loading...
Terkini