comscore
Tumpuan :
Nasional

Jambatan musnah akibat banjir besar 2 tahun lalu, sudah diganti

Jalaluddin (tiga dari kanan) melawat jambatan baharu bagi menggantikan jambatan yang musnah akibat banjir pada 18 Disember 2021.- Foto: Jalaluddin Alias/ Facebook

JELEBU: Selepas menunggu lebih dua tahun, penduduk boleh menarik nafas lega berikutan tiga jambatan di Kampung Chalin, Kampung Sungai Limau dan Kampung Lubuk Ganchung, dekat sini yang musnah akibat banjir pada 18 Disember 2021 sudah siap dibina.

EXCO Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata biarpun berstatus jambatan pertanian, ia turut menjadi laluan utama bagi kira-kira 300 penduduk di ketiga-tiga kampung berkenaan.

Beliau berkata, pembinaan ketiga-tiga jambatan itu membabitkan kos berjumlah RM1.5 juta menerusi peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Jambatan sepanjang 36 meter itu mula dibina pada Mei tahun lalu dan siap sepenuhnya Februari dan Mac lalu sudah pasti memberi kelegaan kepada penduduk.

“Biarpun pembinaannya lewat atas pelbagai faktor, penantian penduduk bagi mendapatkan jambatan baharu sudah pun berakhir,” katanya ditemui selepas Majlis Penyerahan Jambatan Di Kampung Chalin, semalam

 

Jalaluddin (tiga dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen penyerahan jambatan antara Pengarah KKDW Negeri Sembilan/Melaka, Norazlin Mohd Nor dengan Pegawai Daerah Jelebu, Abdul Rahim A Aziz, pada majlis penyerahan jambatan berkenaan. Foto: NSTP

Jalaluddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi negeri berkata, pembinaan ketiga-tiga jambatan itu turut mencatat sejarah berikutan menjadi projek jambatan pertama yang dilaksanakan oleh Unit Teknikal KKDW Negeri Sembilan.

Sementara itu Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata, jambatan di Kampung Bemban dan FELDA Titi yang juga musnah dalam banjir besar itu akan mula dibina tidak lama lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini