
KUCHING: Jambatan di Jalan Tekalit-Musah di Song, Kapit, runtuh kira-kira jam 9.30 malam tadi.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jambatan berkenaan berada di laluan jalan negeri dan beliau sudah menghubungi Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sarawak bagi memastikan tindakan segera diambil.
“Saya dimaklumkan (oleh Pengarah JKR Negeri Sarawak) langkah segera sudah diambil sejak malam tadi bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku terhadap pengguna jalan raya.
“Langkah yang diambil JKR Negeri Sarawak ialah menutup jalan berkenaan bermula malam tadi selain memasang papan tanda amaran dan peranti keselamatan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata demikian dalam hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya sementara pemeriksaan dan siasatan lanjut dijalankan, beliau juga sudah membawa perkara itu kepada Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“Ia bagi mempercepatkan lagi tindakan serta urusan berkaitan untuk membaiki kerosakan serta memastikan keselamatan jalan raya,” katanya.