comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Jangan ambil tindakan sendiri tangani buli’- Fadhlina

 

NIBONG TEBAL: Aduan berkaitan kes buli perlu dilaksanakan secara rasmi melalui portal khas Kementerian Pendidikan (KPM) supaya proses siasatan dapat dijalankan dengan lebih adil dan saksama.

Ia juga membolehkan semua aduan dapat direkodkan sebelum mengambil tindakan susulan berkaitan intervensi dan pemulihan.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata beliau menyedari persoalan ramai pihak berhubung tempoh penyelesaian sesuatu kes buli dan tindakan yang dikenakan ke atas pembuli.

Bagaimanapun, katanya kesemua itu perlu melalui proses yang sewajarnya bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

“Yang pastinya kita tidak berkompromi  mengenai isu buli ini yang mana salah tetap salah dan serahkan kepada pihak berkuasa untuk ambil tindakan.

“Sebab itu saya sebut berulang kali yang saya mahu aduan (buli) kepada KPM dilaksanakan dengan rasmi (melalui portal adubuli).

“Kemudian proses dari segi siasatan ini harus telus. Ramai asyik tanya bila nak selesai, bila nak ambil tindakan yang mana kita kena tahu ini negara hukum yang kita ada proses siasatan dan kita mesti sabar dengan proses ini,” katanya ketika diminta mengulas berhubung isu buli dalam kalangan pelajar sekolah ketika ini.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui selepas merasmikan Karnival Kita Madani Daerah Seberang Perai Selatan di Tapak Pasar Malam Sungai Duri, di sini, hari ini.

Jelasnya, semua pihak perlu memberi laporan siasatan yang adil dan hukuman kepada pembuli bergantung pada tahap keterukan yang dilakukan sebagaimana bukti yang diperoleh.

“Kita harapkan isu ini (buli) dapat ditangani dengan baik dan berhemah dalam masyarakat dan jangan ambil tindakan sendiri.

“Saluran rasmi KPM  harus digunakan sebaik- baiknya supaya kita boleh rekodkan aduan untuk tindakan susulan berkaitan intervensi dan pemulihan,” katanya.

Loading...
Terkini