comscore
Tumpuan :
Nasional

Jangan beli atau baca teks al-Quran tiada perakuan

Nik Yusaimi (tengah) bersama panel semakan menunjukkan cop pengiktirafan dan pelekat hologram pada sidang media, hari ini – FOTO: NSTP

SUBANG JAYA: Masyarakat diminta tidak membeli atau membaca teks al-Quran yang dicetak tanpa perakuan pihak berkuasa bagi mengelakkan unsur syubhah di dalam bacaan.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Nik Yusaimi Yussof berkata, orang ramai digalak membeli teks al-Quran yang mempunyai cop perakuan dan pelekat hologram perakuan daripada KDN.

Menurutnya, teks tidak diperakui itu kebanyakannya dibawa masuk dari negara jiran dan dikhuatiri boleh mengubah maksud asal apabila dibaca individu tidak mahir, berikutan menggunakan gaya penulisan selain Rasm Uthmani yang digunakan di Malaysia.

“Teks yang kita semak sebelum diberi kelulusan cetak pun didapati ada kesalahan kecil dan besar. Jadi kita khuatir teks al-Quran (tiada perakuan) berkenaan tidak mengikuti garis panduan Uthmani.

“Antara kesalahan-kesalahan lazim yang dikesan semasa semakan dibuat ialah ayat tidak sempurna, kesilapan pada titik dan tanda baris, nama surah dan juzuk tidak jelas, nombor ayat hilang serta muka surat kotor,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Nik Yusaimi berkata, semakan dijalankan ke atas semua bentuk teks al-Quran termasuk versi cetakan, naskhah elektronik, audio dan terjemahan.

Tambahnya, walaupun teks al-Quran diterbit menerusi aplikasi mudah alih tidak tertakluk di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Qur’an (APTQ) 1986 pembangun perisian terbabit digalakkan untuk memohon perakuan dari pihak KDN.

“Ciri-ciri semakan meliputi penulisan Rasm Uthmani, penandaan (dhabt) al-Quran, jumlah bilangan nama-nama surah dan juzuk berpandukan pencetakan Arab Saudi (Mujamma’ Malik Fahd) dan Mesir.

“Semakan dijalankan individu pakar terdiri daripada ahli Lajnah Tasheh dilantik KDN bagi menyemak sebelum mendapat kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) untuk dicetak,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya dalam proses menyemak 11 teks terdiri daripada enam naskhah al-Quran 30 juzuk dan lima bahan mengandungi teks al-Quran.

“Semakan ke atas teks dan bahan al-Quran ini disemak sebanyak dua kali bagi setiap permohonan,” katanya.

Sementara itu, Yusaimi memberitahu, pihaknya merampas pelbagai jenis teks al-Quran tanpa perakuan bernilai lebih RM1 juta tahun lalu menerusi Op Naskhah 1 dan 2.

Katanya, nilai rampasan teks al-Quran tidak diperakui bagi tahun ini sudah mencecah RM 215,000, dirampas menerusi Op Mulia yang dijalankan sejak Januari. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini