comscore
Tumpuan :
Nasional

“Jangan Buat Tuduhan Melulu Bajet 2023 Tak Memihak Veteran ATM” – Hishamuddin

Foto: FB: HISHAMUDDIN TUN HUSSEIN

KLUANG: Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM) diminta tidak membuat tuduhan melulu mendakwa Bajet 2023 tidak memihak kepada golongan pesara tentera.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata mereka sewajarnya datang bertemu pihaknya dan berbincang bagi menentukan perkara yang benar-benar dapat membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Saya nak nasihatkan mereka jangan melihat kebajikan kepada veteran berkisar kepada ucapan (bajet) semalam (kelmarin) saja.

“Jika pihak kementerian belum memperincikan butiran apa yang diumumkan (dalam Bajet 2023), saya percaya veteran pun belum memperincikan lagi apa yang ada dalam peruntukkan diberikan kepada kementerian ini.

“Sebab itu sebelum Bajet 2023 pun, beberapa perkara yang mereka minta, kita sudah luluskan. Sekarang, dengan tambahan peruntukan diberi kepada kementerian, kita tengok apa yang boleh kita umumkan nanti,” katanya pada Karnival Tentera Darat 2022 di Taman Seri Lambak di sini, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal berita dalam talian melaporkan Presiden PSPRM, Mior Rosli Mior Mohd Jaafar melihat Bajet 2023 seakan tidak memihak golongan pesara tentera dan mempersoalkan janji Hishammuddin terhadap kebajikan veteran.

Sementara itu, ditanya ura-ura pembubaran Parlimen, Hishammuddin berharap, diberikan peluang oleh rakyat untuk terus memimpin negara ini.

“Tugas saya sekarang adalah untuk memastikan rakyat terus memberikan sokongan untuk kita memimpin negara,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini