comscore
Tumpuan :
Nasional

Jangan gugat kepercayaan rakyat terhadap anggota perkhidmatan awam – CUEPACS 

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), sekeras-kerasnya menyelar tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang mengeluarkan kenyataan palsu di media sosial, berkaitan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berkata, ia tidak berasas dan boleh memberi implikasi negatif kepada institusi perkhidmatan awam serta menjejaskan kepercayaan kepada kerajaan.

“Dalam hal ini CUEPACS menolak sebarang campur tangan daripada pihak luar yang mempunyai kepentingan tertentu untuk turut sama melibatkan institusi perkhidmatan awam terutama KSN dalam agenda mereka,” menurutnya menerusi satu kenyataan.

Tambahnya, budaya menyebarkan fitnah perlu dihentikan kerana boleh mencalarkan imej perkhidmatan awam yang tidak memihak dan profesional dalam setiap tindakan.

“Jangan cuba untuk menggugat kepercayaan rakyat kepada anggota perkhidmatan awam dengan menyebarkan sentimen yang tidak tepat terutama dakwaan yang bersifat fitnah tanpa pembuktian,” jelasnya lagi.

CUEPACS ujranya sentiasa menyokong usaha untuk menghapuskan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sekiranya terbukti berlaku.

Sebalinya menolak budaya fitnah yang hanya merosakkan keharmonian negara.

Dalam masa sama CUEPACS berharap pihak berkuasa dapat menyiasat dan mengambil tindakan terhadap dalang yang menyebarkan fitnah berkenaan.

Tindakan tegas seharusnya diambil bagi membendung perkara seumpama ini dari terus berlaku.

“Sekiranya tiada tindakan tegas diambil, sudah tentu perkhidmatan awam akan terus digunakan sebagai bahan untuk individu tertentu untuk menyebarkan kebencian dan melaga-lagakan pemimpin kerajaan dengan anggota perkhidmatan awam,” katanya.

Loading...
Terkini