comscore
Tumpuan :
Nasional

Jangan Guna Agama Tutup Mulut Mangsa Jenayah Seksual, Tegas Azalina

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman. – FOTO : NSTP

KUALA LUMPUR: Sentimen agama tidak sepatutnya digunakan untuk melindungi pemangsa jenayah seksual serta membisukan mangsa khususnya kanak-kanak.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, menegaskan tindakan menggunakan agama untuk mencetus ketakutan, kebimbangan serta ‘tanggungjawab’ melindungi reputasi pemangsa seksual, bertentangan dengan semua undang-undang perlindungan kanak-kanak di negara ini.

Katanya, tindakan itu mencetus persoalan mengenai Akta Antigangguan Seksual 2021 yang baru diluluskan, serta Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 serta mesej dan duluan yang cuba disampaikan.

“Sebesar mana pun reputasi dan amalan baik dilakukan, tidak akan dapat memadamkan trauma yang dialami mana-mana mangsa, terutamanya kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan atau gangguan seksual, atau akibat digelar penipu.

“Jika patriaki berterusan di peringkat tertinggi, dan ditambah dengan nilai toksik maskulin, apa lagi harapan yang ada untuk mangsa jenayah seksual, khususnya kanak-kanak? Sistem yang ada mengecewakan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, seorang pelakon remaja berusia 15 tahun mendedahkan sikap bapanya dengan beberapa dakwaan, termasuk melakukan gangguan seksual terhadap dirinya dan memperlakukan ibunya dengan teruk, ketika ditemu bual dalam satu program melalui YouTube.

Susulan itu, bapanya yang menetap di Kedah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu pada Ahad lalu untuk menafikan dakwaan anaknya.

Rabu lalu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, mengesahkan bapa pelakon terbabit ditahan pada jam 2.25 petang Selasa lalu.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, dilaporkan berkata, pelakon remaja itu sepatutnya melaporkan segera kejadian dialaminya kepada polis dan bukan membuka aib bapanya dan mendedahkannya kepada orang ramai.

Mengulas lanjut, Azalina memaklumkan ada meminta pandangan anak perempuannya mengenai pendedahan pelakon remaja itu, khususnya jika berada di tempat pelakon itu.

Anak perempuan Azalina yang juga dalam lingkungan usia remaja, antara lain berharap siasatan terus dilakukan terhadap pendedahan itu tanpa perlu menunggu laporan polis dibuat, dan kanak-kanak sepatutnya digalak untuk bercakap dan bukan dibisukan.

“Kanak-kanak tidak menipu mengenai gangguan seksual. Tanggungjawab mahkamah untuk memutuskan sebaliknya. Jika pelakunya ahli keluarga sendiri, kesan laporan adalah berkali ganda.

“Tanpa siasatan pihak luar, kanak-kanak ini akan terperangkap di bawah satu bumbung bersama pelaku dan dia akan lebih terdedah (pada tindakan jenayah seksual),” katanya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu turut menggesa kerajaan menyatakan komitmen untuk melaksanakan hala tuju yang dibentangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial yang dipengerusikannya.

Hala tuju yang dibentangkan di Parlimen Julai lalu itu antara lain mencadangkan supaya memberi lebih banyak akses sokongan dan bantuan kepada kanak-kanak sepanjang proses keadilan jenayah.

“Strategi ini termasuk memperkenal model baharu pengurusan dan pelaksanaan Perkhidmatan Sokongan Saksi (WSS) yang komprehensif untuk kanak-kanak, yang menambah baik Pusat Sehenti Krisis sedia ada kepada Pusat WSS yang menawarkan bantuan perubatan, psikososial, perundangan dan ruang pengumpulan bukti oral daripada saksi jenayah seksual.

“Mungkin hadiah terbaik untuk anak-anak kita pada Hari Kanak-Kanak Sedunia pada 20 November ini adalah komitmen kerajaan untuk melaksanakan hala tuju ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini