KAHERAH: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan memberi perlindungan kepada mana-mana individu yang terlibat dalam kes rasuah termasuk jika ada yang mahu menjadi pemberi maklumat bagi pembongkaran kes rasuah itu.
Berikutan itu, Perdana Menteri menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan teliti terhadap semua kes termasuk skandal rasuah membabitkan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meminta wang sebagai balasan menyokong kelulusan projek.
Katanya, beliau tidak akan berunding dengan mana-mana pemberi maklumat kes rasuah yang mahu mendapatkan perlindungan kerana tindakan itu disifatkan sebagai aneh.
“Jangan gunakan jawatan Perdana Menteri untuk dapatkan perlindungan kepada sesiapa (bagi kes rasuah) kerana saya tidak akan buat begitu…Saya tak akan bagi jaminan itu.
“Dasar Kerajaan Madani adalah jelas iaitu perlindungan hanya diberi kepada mereka yang tidak terbabit langsung dalam kes rasuah.
“Jadi, jika ada maklumat yang samar-samar termasuk adakah individu pemberi maklumat itu turut terbabit dalam rasuah, ia perlu diteliti dan disiasat, bukan terus memberi perlindungan kepadanya,” katanya pada sidang media pada hari terakhir lawatan rasminya selama empat hari ke Mesir, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan terdapat lapan video yang memaparkan perbincangan antara seorang ahli perniagaan dan seorang ADUN berhubung rasuah bagi mendapatkan lesen projek.
Sabtu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan seorang pemberi maklumat bagi kes klip video beberapa ADUN membincangkan rasuah, sudah berjumpa pegawainya pada 30 Oktober lalu.
Pemberi maklumat dalam kes itu juga dikatakan menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri untuk meminta diberi perlindungan sebelum membuat laporan SPRM.
Mengulas perkara itu, Anwar berkata, beliau tidak menerima sebarang surat daripada mana-mana individu yang meminta perlindungan daripadanya kerana masih berada di Mesir dalam lawatan rasmi empat harinya ke sini, berakhir hari ini.
Beliau berkata, jika surat itu dihantar sekalipun, ia akan diserahkan kepada SPRM untuk siasatan lanjut.
“Jika saya dapat surat (minta perlindungan itu), saya akan serah terus kepada SPRM…ambil surat itu dan teliti sepenuhnya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau memberi laluan sepenuhnya kepada SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak terbabit rasuah selepas siasatan lengkap dilakukan.
Beliau berkata, kerajaan tidak akan mengambil peduli terhadap suara yang lantang mengecam usaha membanteras rasuah yang dilakukan pihaknya kerana ia dilakukan secara telus dan adil.
“Kita tak akan desak, tak akan tetapkan tempoh bila siasatan selesai, sebaliknya serah kepada pihak berkuasa menjalankannya secara bebas,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.