comscore
Tumpuan :
Nasional

“Jangan hantar makanan basi kepada mangsa banjir”

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta melihat kualiti makanan yang diberikan kepada mangsa banjir di Johor.

Perkara itu disuarakan Ahli Parlimen dari Johor, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang menyatakan makanan yang sudah basi atau nasi yang tidak masak seharusnya tidak dihantar kepada mangsa banjir.

“Minta kerajaan tengok balik. Nombor satu kualiti makanan. Jangan hantar makanan basi (atau) nasi tak masak.

“Kedua minta tolong supaya percepatkan urusan (isu penghantaran makanan) ini kerana dulu kita tak ada masalah. Sejak 2006 kita sudah berkali-kali menguruskan banjir tetapi kali ini disebabkan kita tukar format,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah perbahasan Bajet 2023 Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) di Dewan Rakyat hari ini.

Ka Siong berkata, kerajaan seharusnya tidak mengambil satu kontraktor saja dalam pembekalan makanan kepada mangsa banjir sebaliknya memperbanyakkan lagi jumlahnya.

Aminolhuda dalam ucapannya terdahulu membahaskan mangsa banjir di Johor mengalami kekurangan seperti khemah di kawasan sementara mereka tinggal.

“Penduduk kekurangan peralatan. Sudah duduk dan pindah di tempat yang ditentukan tetapi khemah lambat sampai.

“Kami mengharapkan khemah, selimut dan keperluan asas untuk mereka dapat berteduh dan dapat berehat amat diperlukan,” katanya.

Selain itu katanya, makanan yang dihantar kepada mangsa banjir seperti kawasan yang diwakilinya juga lewat tiba dan menggesa agar kerajaan memperbanyakkan pembekal makanan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini