comscore
Tumpuan :
Nasional

Jangan pamer lambang pingat, darjah kebesaran Pahang di kenderaan

Foto hiasan

KUANTAN: Penerima darjah kebesaran dan pingat negeri ini yang mempamer atau melekatkan lambang darjah kebesaran atau pingat berkenaan pada kenderaan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk penarikan balik darjah serta pingat yang dikurniakan itu.

Tindakan dikenakan itu selaras mengikut Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017, membabitkan gelaran atau anugerah yang dikurniakan Sultan Pahang.

Selain itu, mereka yang didapati menggunakan gelaran palsu juga boleh didakwa mengikut peruntukan sama.

Susulan itu, Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman, memberi peringatan kepada penerima darjah dan pingat kebesaran Pahang untuk tidak mempamer atau melekatkan lambang darjah kebesaran atau pingat pada kenderaan mereka.

Beliau berkata, peringatan itu dibuat selepas dititahkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang kini bersemayam di Istana Negara.

“Bagi mengesan pesalah yang melanggar enakmen itu, pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diminta bekerjasama dalam mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mereka terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada Ogos lalu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman memberi peringatan bahawa semua pihak tidak dibenarkan memasang atau memaparkan lambang atau emblem darjah kebesaran Pahang pada mana-mana bahagian kenderaan tanpa kebenaran.

Beliau berkata, perkara itu dinyatakan pada Seksyen 3(1)(d) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 dan individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda antara RM250,000 hingga RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini