Oleh: Norain Shafiqah Mohd Zaki
KUALA LUMPUR: Acapkali kita mendengar tentang pemeriksaan kesihatan gigi berkala sekurang-kurangnya enam bulan sekali bagaimana pula soal kepentingan pendengaran?
Itulah hakikatnya pemeriksaan pendengaran sering dipandang ringan kerana masih kurang pendedahan terutamanya di Malaysia.
Bagi Audiologis, Ainu Mardhiah Mohd Razally, dia akui sebelum berkhidmat di dalam bidang ini, beliau mengabaikan nikmat pendengaran yang dikurniakan Ilahi.
Namun pandangan itu kini berbeza setelah mula berkhidmat dalam bidang deria utama itu.
“Saya puas melihat senyuman terukir apabila mereka dapat mendengar sepenuhnya.” katanya yang lebih mesra disapa Ainu setelah berkhidmat dalam bidang audiologi selama lapan tahun.
“Audiologis ini adalah satu kerjaya dimana kita boleh kenal pasti simptom kehilangan deria pendengaran dan peranan kami jika seseorang pesakit tu didiagnos ada masalah pendengaran, kami bertanggungjawab memeriksa berapa tahap kehilangan deria yang ada”
Ujarnya lagi masalah pendengaran boleh terkena pada sesiapa sahaja, justeru bagi memelihara nikmat deria itu Ainu menyeru agar orang ramai memeriksa deria pendengaran sekurang-kurangnya sekali setahun.
Jelasnya tindakan itu boleh menyelamatkan diri dari mengalami masalah yang lebih serius dengan memakai alat bantu dengar.
“Kita punya organ pendengaran ni memerlukan ‘stimulation’ atau kena selalu ada bunyi masuk dan dia mengelakkan ‘lazy ears’ di mana saraf kita akan lagi cepat rosak” tambahnya.
Walau bagaimanapun, beliau tidak menolak masih ada stigma yang beranggapan bahawa pemakaian alat bantu itu akan dianggap ‘pekak’ oleh orang sekeliling.
Antara yang mengambil tindakan awal ialah ratu rock negara, Ella yang kini bergantung kepada alat bantuan pendengaran susulan kemampuan mendengar kedua-dua belah telinganya sudah menurun.
Ainu dalam pada itu berharap agar kerjaya sebagai audiologis diberi pendedahan meluas kerana ketika ini dikatakan hanya 700 rakyat Malaysia yang menyandang profesion tersebut.