comscore
Tumpuan :
Nasional

Jangan Politikkan Isu Sekolah Kurang Murid

PUTRAJAYA: Isu Sekolah Kurang Murid (SKM) tidak seharusnya dipolitikkan dan dianggap sebagai tindakan kerajaan untuk menghapuskan sekolah aliran vernakular.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata ia berikutan isu berkenaan sudah berlarutan sejak sekian lama dan yang menjadi mangsa adalah murid yang tidak menikmati kualiti pendidikan terbaik kerana bersekolah di SKM serba kekurangan.

Beliau berkata, isu ini pernah dibawa oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika memegang jawatan Menteri Pelajaran lagi iaitu antara yang terawal membincangkan mengenai SKM.

Katanya, sepatutnya ia boleh diselesaikan tetapi menjadi sukar apabila turut membabitkan elemen politik.

“Di negara kita, SKM kebanyakan berlaku di kawasan luar bandar dan estet getah atau kampung lama selain banyak juga berlaku dalam kalangan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

“Apabila masyarakat Cina dan India serta generasi seterusnya tidak lagi tinggal di kampung atau estet dan berpindah ke Kuala Lumpur (ke bandar), anak mereka tidak lagi bersekolah di kawasan kampung baru dan penempatan lama.

“Namun, ada masyarakat Cina misalnya yang tidak mahu sekolah yang ada di kawasan mereka ditutup walaupun sudah tidak ramai murid menghadirinya,” katanya kepada BH.

Anuar berkata, dalam menangani isu SKM, Kementerian Pendidikan (KPM) sendiri perlu bersikap tegas dalam menyelesaikannya bagi membolehkan murid di kawasan terbabit mendapat kualiti pendidikan sewajarnya dan tidak akan merugikan mereka.

Beliau berkata, jika dibiarkan berterusan murid terbabit akan terus terciicir daripada peluang pendidikan berkualiti selain kemudahan lain.

Katanya, perlu ada perundingan politik untuk menangani isu berkenaan namun isu itu tidak akan dapat diselesaikan jika pemimpin politik tidak bersedia untuk menutup sekolah yang mengalami kekurangan murid.

Anuar berkata, ada beberapa pendekatan yang boleh diambil untuk menangani isu SKM termasuk menempatkan murid ke asrama atau menyediakan pengangkutan untuk mereka ke sekolah lain yang mungkin terletak jauh dari kediaman masing-masing.

“Apabila ibu bapa tidak menghantar anak masing-masing ke SKM yang berdekatan dengan kediaman mereka, lama kelamaan ia akan terpaksa ditutup.

“Tetapi ada juga ibu bapa yang mungkin memilih menghantar anak mereka ke sekolah yang lebih hampir walaupun ia berstatus SKM.

“Murid yang dihantar ke sekolah yang lebih jauh boleh ditawarkan penginapan di asrama atau ditempatkan ke sekolah lebih baik dengan disediakan pengangkutan yang ditanggung kerajaan seperti dilakukan untuk anak masyarakat Orang Asli,” katanya.

Pada masa sama, Anuar turut mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa di peringkat KPM untuk menangani isu SKM di SJKC.

Pun begitu, beliau berkata, perlu ada tempoh sasaran pelaksanaan yang akan diambil dan isu itu tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa keputusan yang khusus.

“Ia satu tindakan yang baik dengan penubuhan jawatankuasa itu yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon.

“Tetapi perlu ada sasaran supaya ia tidak menjadi jawatankuasa yang tidak bermakna,” katanya.

Hang Soon semalam, memaklumkan tiga jawatankuasa kecil sudah diwujudkan di peringkat KPM bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu SKM di SJKC.

Beliau dilaporkan berkata, ketika ini terdapat 3,017 SKM di seluruh negara dengan 367 atau 69.6 peratus daripada 527 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), diikuti 616 atau 47.3 peratus daripada 1,302 SJKC dan 2,034 atau 34.6 peratus daripada 5,877 Sekolah Kebangsaan (SK).-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini