comscore
Tumpuan :
Nasional

Jangan sebar video pemandu dipukul hingga mati atau berdepan tindakan – MCMC

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

CYBERJAYA: Mana-mana individu yang menyebarkan video insiden tragis yang berlaku di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor baru-baru ini boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam kenyataan hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan, tindakan boleh diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sebarang perkongsian yang melibatkan video atau kandungan melibatkan mangsa serta pihak yang terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, media melaporkan, seorang lelaki bukan hanya ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam selepas kemalangan, bahkan tangannya diikat dan dia dipukul hingga maut.

Kejadian tragis itu berlaku malam Selasa lalu, selepas lelaki berusia 41 tahun terbabit yang memandu Proton Saga kelabu terbabit kemalangan dengan penghantar makanan.

Susulan itu, lima lelaki berusia antara 22 hingga 52 tahun ditahan selepas disyaki memukul lelaki berkenaan.

Justeru, MCMC menggesa orang ramai untuk tidak menyebarkan video tersebut dan memadamkannya jika telah dimuat naik bagi menghormati keluarga mangsa.

Menurut MCMC, perkongsian rakaman video mangsa tidak hanya mengguris perasaan keluarga mangsa, malah melanggar prinsip dan etika asas dengan pengunaan grafik berkaitan kecelakaan, kemalangan dan kekerasan yang boleh menimbulkan kegelisahan penonton.

“Sebagai garis panduan berkenaan penciptaan kandungan, rujukan boleh dibuat melalui Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Setiap individu perlu mempertimbangkan sewajarnya untuk tidak menyebarkan video atau kandungan yang berkaitan dengan insiden tersebut,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini