comscore
Tumpuan :
Nasional

Jangan terpedaya pakej haji murah – Mohd Na’im

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PETALING JAYA: Umat Islam di negara ini diingatkan supaya lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pakej murah yang ditawarkan segelintir agensi pelancongan yang tidak dilesenkan oleh Tabung Haji (TH).

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji tanpa kelulusan daripada Tabung Haji merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil maklum akan kejadian yang menimpa 300 bakal jemaah haji yang terkandas di Mekah ketika ini akibat terpedaya dengan pakej haji murah yang ditawarkan agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab.” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Malah, umat Islam adalah dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan syarikat-syarikat yang dilantik PJH oleh oleh pihak Tabung Haji sahaja.

Sebagai makluman, Tabung Haji telah melantik 25 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji 1445H/2024M dan ini adalah antara langkah awal persediaan haji yang dilakukan TH saban tahun.

“Kerajaan bersimpati atas nasib yang menimpa mangsa-mangsa tersebut dan telah mengarahkan pihak Tabung Haji untuk meneliti perkara ini untuk siasatan lebih lanjut.”

Malah, beliau turut menasihatkan semua mangsa yang terlibat di sana untuk menghubungi kedutaan Malaysia di Arab Saudi bagi mendapatkan bantuan khidmat nasihat.

Terdahulu, media melaporkan 300 bakal jemaah haji Malaysia yang kini berada di Mekah berdepan situasi bingung kerana gagal mendapat kebenaran menunaikan haji menggunakan visa pelancong.

Perkara itu didedahkan sebuah akaun bernama Zhyema Zhyedee di laman Facebook selepas dia dihubungi rakannya yang meminta bantuan menyelesaikan masalah itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini