comscore
Tumpuan :
Nasional

Jangan terpedaya panggilan, SMS pemindahan wang ke Akaun Fleksibel

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya daripada agensi kerajaan.

Ini kerana terdapat taktik penipuan yang menggunakan nama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menjerat pencarum bagi pemindahan wang Akaun Fleksibel.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pegawai agensi kerajaan tidak akan membuat panggilan bagi urusan transaksi wang.

“Orang ramai jangan mudah percaya jika menerima panggilan telefon daripada individu mengaku pegawai KWSP atau mana-mana agensi kerajaan.

“Kebanyakan (panggilan) adalah bentuk penipuan kerana bakal mangsa akan diminta mengikut langkah diberikan (pemindahan wang) sehingga akhirnya mengalami kerugian.

“Apabila mangsa buat semakan mendapati agensi terbabit tidak membuat sebarang panggilan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai taktik terbaharu ‘scammer’ melakukan penipuan melalui SMS kononnya daripada KWSP.

Datuk Seri Ramli berkata, jenayah penipuan akan berlaku sekiranya individu yang dihubungi memberi maklum balas.

Justeru, katanya, orang ramai perlu mengelak memberi maklum balas terhadap panggilan atau mesej yang meragukan termasuk di aplikasi WhatsApp.

Terdahulu, KWSP menerusi hantaran di media sosial rasmi meminta orang ramai supaya berwaspada dengan penipuan mengenai pemindahan Akaun Fleksibel.

KWSP mengingatkan orang ramai supaya jangan mudah terpedaya dengan penipuan itu dan sentiasa berhati-hati.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini