comscore
Tumpuan :
Nasional

Jangan tolak tawaran MRSM, MARA ada pelbagai bantuan

 Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki merayu ibu bapa atau penjaga pelajar yang mendapat tempat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tetapi berdepan kekangan kewangan agar tidak sesekali menolak tawaran ke institusi itu.

Beliau berkata, MARA sedia membantu melalui pelbagai bantuan untuk memastikan golongan pelajar daripada keluarga miskin mendapat pembelaan.

Setiausaha Agung UMNO itu turut menyenaraikan empat bantuan yang boleh diperolehi pelajar yang mendapat tawaran MRSM iaitu Program Bantuan Untuk Pendidikan (BUDI), pengecualian bayaran, bantuan wang satu dan pelepasan yuran peperiksaanCambridge International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).

“Ada banyak juga mesej yang bertanya dan minta pandangan untuk tolak tawaran sebab faktor kewangan.

“Saya minta dan merayu kepada ibubapa atau penjaga dari kalangan mereka yang susah dan berpendapatan rendah. Janganlah sesekali menolak tawaran kemasukan ke MRSM kerana faktor kos ataupun kekangan kewangan.

“Antara program bantuan ialah BUDI iaitu bantuan untuk bantu mereka yang miskin untuk bayar yuran, pembelian pakaian dan peralatan sekolah dan harian, pengecualian bayaran wang caruman kepada pelajar miskin, wang saku RM50 sebulan bagi pelajar yang layak dan pelepasan yuran IGCSE bagi pelajar B40 yang mendaftar di MRSM IGCSE,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook, di sini hari ini.

Beliau juga menambah, bantuan untuk menghantar anak yang duduk jauh dan faktor kos juga boleh dimaklumkan kepada pihak MARA dan MRSM.

“InsyaAllah saya sudah minta agar Bahagian Pendidikan Menengah MARA bahkan Yayasan Pendidikan MARA untuk pantau dan bantu.

“Pokoknya jangan sesekali jadikan alasan kekangan kewangan atau tak mampu bayar yuran untuk menolak tawaran MRSM,” katanya.

Asyraf Wajdi turut mengingatkan mengenai penubuhan MRSM yang didirikan atas semangat dan gesaan UMNO untuk memastikan orang Melayu daripada golongan berpendapatan rendah terbela.

Loading...
Terkini