comscore
Tumpuan :
Nasional

Jangkitan harian melonjak, 4,711 kes baharu COVID-19 dicatat

FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Jangkitan harian kes positif baharu COVID-19 di negara ini terus melonjak dengan 4,711 kes dilaporkan setakat malam tadi.

Ia, berbanding 3,969 kes sehari sebelumnya.

Data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawang KKMNOW menunjukkan 4,704 kes adalah penularan tempatan .

Manakala tujuh lagi kes import.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan 4,914,557 kes sejak COVID-19 mula dikesan pada Januari 2020.

Tiada kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam, menjadikan kes kematian akibat pandemik berkenaan kekal sebanyak 36,480 dengan 7,763 kes adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Setakat tengah malam tadi juga, sebanyak 1,591 kes aktif dilaporkan menjadikan keseluruhan kes aktif 34,609 kes dengan 32,956 atau 95.2 peratus menjalani isolasi di rumah dan 67 berada di wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ia termasuk 47 individu yang memerlukan bantuan pernafasan, manakala tiada kes dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Penggunaan katil ICU juga berada pada paras 62.4 peratus.

Sementara itu, seramai 169 individu mendapatkan suntikan dos utama vaksin COVID-19 semalam, dan 382 mendapatkan dos penggalak pertama dan 1,160 individu lain pula mendapatkan dos penggalak kedua.

Isnin lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata Malaysia kini berdepan gelombang kecil XBB, subvarian kepada varian Omicron yang dijangka menyebabkan peningkatan jangkitan COVID-19 antara 3,000 hingga 5,000 kes sehari dalam beberapa minggu akan datang.

Beliau berkata, kementerian tidak pasti sama ada gelombang kecil itu akan berubah menjadi besar namun ia bergantung kepada tingkah laku masyarakat.

Justeru, beliau meminta orang ramai berhati-hati dan berwaspada terutama apabila kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 PRU-15 bermula, esok.

Loading...
Terkini