comscore
Tumpuan :
Nasional

Jari budak 5 tahun terlekat pada bekas sudu 

LIPIS: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dibawa ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis untuk mendapatkan bantuan bagi melepaskan jari telunjuknya yang terlekat pada bekas sudu logam semalam.

Ketua Balai Bomba Kuala Lipis, Haslizan Ramli berkata, kanak-kanak berkenaan dibawa oleh ibunya, Norlizawati Harun ke BBP Kuala Lipis setelah pelbagai usaha mengeluarkan jari anaknya gagal ketika di rumah mereka di Kampung Relong, Padang Tengku dekat sini pada jam 3.30 petang semalam.

“Setibanya di balai bomba, didapati jari telunjuk kanak-kanak itu sudah bengkak kerana agak lama terlekat pada bekas sudu yang berlubang-lubang yang diperbuat daripada logam.

“Dua orang anggota bomba yang bertugas segera melakukan penugasan mengeluarkan jari kanak-kanak berkenaan dengan menggunakan peralatan khas dalam tempoh 10 minit sahaja,” katanya di BBP Kuala Lipis di sini hari ini.

Kata Haslizan, anggota bomba bertugas terpaksa mengerat bekas sudu itu dengan berhati-hati kerana dibimbangi jari kanak-kanak membengkak daripada tercedera atau terluka.

“Jari kanak-anak ini berjaya dilepaskan daripada bekas itu dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibenarkan pulang ke rumah bersama ibunya,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Norlizawati harun berkata, ketika anaknya sedang bermain-bermain dengan beberapa alat permainan termasuk bekas sudu itu tetiba-tiba terdengar kanak-kanak itu menangis mengadu sakit.

“Saya cuba melepaskan jari telunjuk anak saya daripada bekas itu tapi tidak berjaya di samping jari anak saya mula membengkak.

“Oleh itu, tanpa ada ikhtiar lain, saya terus membawa anak saya ke BBP Kuala Lipis untuk mendapatkan bantuan, saya berterima kasih kepada anggota bomba yang membantu melepaskan jari anak saya,” katanya di sini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini