comscore
Tumpuan :
Nasional

JAS buka 7 kertas siasatan terhadap 10 premis

Foto: JAS Pulau Pinang 

GEORGE TOWN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang membuka tujuh kertas siasatan terhadap 10 premis atas kesalahan berkaitan pengurusan buangan terjadual menerusi Op Gempur Zon Utara yang dijalankan pada Isnin dan Selasa lepas.

Pengarah JAS negeri, Norazizi Adinan berkata, 48 premis diperiksa menerusi operasi terbabit meliputi kawasan Sungai Pinang, Jelutong dan Georgetown dalam Daerah Timur Laut manakala Daerah Barat Daya melibatkan kawasan Bayan Lepas, Batu Maung dan Sungai Tiram.

Beliau berkata operasi dengan kerjasama JAS Perak, Kedah dan Perlis itu turut dibantu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melibatkan 13 pasukan terdiri daripada 40 anggota, bertujuan memastikan pematuhan yang baik berkaitan perundangan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.

“Kesemua 10 premis itu telah diambil 17 tindakan penguatkuasaan kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.

“Ia merangkumi 10 Notis Arahan dan tujuh kertas siasatan dibuka melibatkan kesalahan berkaitan pengurusan buangan terjadual,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazizi berkata pemeriksaan dibuat terhadap industri dan punca pencemar yang berpotensi mempunyai risiko menyebabkan pencemaran alam sekitar, kerap mendapat aduan dan premis yang belum pernah diperiksa melibatkan pengilangan berasaskan plastik, kimia, logam, industri berasaskan getah, kertas, makanan, tekstil, percetakan, bengkel serta elektrik dan elektronik.

Operasi melibatkan kerjasama bersepadu semua pihak itu, katanya akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam memastikan kualiti alam sekitar sentiasa terpelihara.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini