comscore
Tumpuan :
Nasional

JAS Johor keluarkan arahan penahanan operasi ke atas premis proses plastik 

Oleh: Zahir Senapiah

KOTA TINGGI: Jabatan Alam Sekitar Johor telah mengeluarkan arahan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) ke atas sebuah premis memproses bahan plastik dalam operasi bersepadu di Bandar Tenggara, dekat sini, tengah malam tadi.

Menurut kenyataan JAS Johor, tindakan itu diambil di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas semua lima (5) set alat pengeluaran proses “extruder” dan “crusher.”

Katanya, ia susulan premis berkenaan gagal mengemukakan laporan Penilaian Impak Kepada Kualiti Alam Sekeliling berdasarkan Perintah Kualiti Alam Sekeliling dan notifikasi alat kawalan pencemaran udara gagal dilengkapkan bersama mesin proses pengeluaran.

Dalam operasi bersepadu yang diketuai Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Johor malam tadi mendapati premis terbabit menjalankan proses “Plastik Extrusion” dan “Plastic Crushing”.

Premis juga didapati gagal memohon permit pengimportan plastik daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN).

Berikutan itu Pasukan gerak am (PGA) turut menahan 60 orang pekerja asing dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis  Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.

JKDM juga membuat siasatan berkenaan pengimportan dari luar negara tanpa permit sah.

Operasi Bersepadu di premis bermula pada pukul 11.00 malam sehingga 5.00 pagi.

Orang ramai digalakkan menyalurkan aduan berkaitan pencemaran alam sekitar talian bebas tol 1-800-88-2727, email ke [email protected] atau ke portal aduan https://eaduan.doe.gov.my.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini