comscore
Tumpuan :
Nasional

 JAS siasat penemuan 42 beg bahan buangan di Kulim

ALOR SETAR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan 42 beg jumbo yang disyaki mengandungi bahan buangan terjadual di sebuah kawasan lapang dekat Kulim, hari ini.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, dalam kenyataan berkata beg itu dikesan pasukan jabatan itu yang menjalankan rondaan mengesan dan mencegah pencemaran pada jam 10 pagi tadi.

“Kita dapati beg-beg berkenaan telah diletakkan di kawasan lapang yang turut menjadi kawasan pembuangan sisa pepejal. Bahan buangan itu didapati dibungkus menggunakan nama sebuah syarikat terkemuka dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar buangan.

“Sampel buangan telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengesahkan jenis buangan berkenaan. Sekiranya buangan bukan dikategorikan sebagai bukan buangan terjadual, kes akan diserahkan kepada agensi yang mengawal selia sisa pepejal,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan mengesan pemilik tanah kawasan itu serta memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah Kulim untuk tindakan selanjutnya.

“Sekiranya buangan didapati buangan terjadual, tindakan akan dijalankan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Tindakan sama juga boleh dikenakan terhadap pemilik tanah sekiranya didapati berlaku pengabaian yang menyebabkan kawasan itu menjadi tapak pelupusan haram buangan terjadual,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini