Tumpuan :
Nasional

JAS Terengganu lancar Ops Gerak Kenderaan Bermotor sempena Sambutan Ozon Sedunia

Ini merupakan inisiatif JAS Terengganu bertujuan pertingkat penguatkuasaan dan pemeriksaan kenderaan bermotor untuk memastikan semua kenderaan mematuhi standard pelepasan asap supaya tidak mengakibatkan pencemaran alam sekitar.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA TERENGGANU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu hari ini melancarkan Ops Gerak Kenderaan Bermotor Sempena Sambutan Ozon Sedunia Tahun 2024.

Ops Gerak diadakan secara bersepadu bersama agensi penguatkuasa dari beberapa agensi lain.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Hasra Masrifah Wan Jusoh @Ab Rahim ketika ditemui berkata, operasi itu merupakan salah satu inisiatif JAS yang bertujuan untuk mempertingkatkan penguatkuasaan dan pemeriksaan kenderaan bermotor untuk memastikan semua kenderaan mematuhi standard pelepasan asap supaya tidak mengakibatkan pencemaran alam sekitar.

“JAS telah membuat pemeriksaan ke atas 40 kenderaan dan untuk pelepasan enjin diesel sebanyak  7 kenderaan diesel di uji 2 kompuan dikeluarkan, pelepasan enjin petrol pula  10 kenderaan diperiksa dan satu kompuan dikeluarkan.

“Hasil pemeriksaan dari Jabatan Imigresen pula, sebanyak 12 pemeriksaan dijalankan dan terdapat satu tangkapan dibuat atas kesalahan tinggal lebih masa, JPJ pula mengeluarkan 18 saman bagi kes teknikal dan pelbagai serta PDRM mengeluarkan 19 saman membabitkan kesalahan trafik”, katanya.

Sepanjang tahun ini, JAS Negeri Terengganu telah melakukan 43 operasi penguatkuasaan ke atas kenderaan bermotor dengan melakukan pemeriksaan ke atas 1,352 buah kenderaan.

52 kompaun serta 21 notis arahan telah dikeluarkan atas kesalahan melepaskan bahan pencemar melebihi standard yang telah ditetapkan.

Tindakan penguatkuasaan diambil di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Petrol) 1996, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising) 1987 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Motosikal) 2003.

Semua pihak termasuk kenderaan komersial, persendirian, industri dan masyarakat awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa memastikan kenderaan masing-masing diselenggara secara berkala bagi mengelakkan pelepasan asap berlebihan.

Pemilik motosikal juga diingatkan untuk tidak mengubahsuai spesifikasi kenderaan tersebut sehingga menyebabkan pencemaran bunyi bising dan kacau ganggu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini