comscore
Tumpuan :
Nasional

Jasa penyambut tetamu berdarah O diiktiraf

IPOH: Penyambut tetamu sebuah hotel di Selangor dinobatkan Penderma Darah Jenis Darah Jarang Jumpa Peringkat Kebangsaan 2024.

Nazran Mohd Nawawi, 47, merangkul anugerah itu selepas menderma lebih 300 kali sejak 29 tahun lalu.

Kata Nazran, beliau difahamkan darahnya dikategorikan jarang jumpa disebabkan keistimewaan pada jenis platelet yang terkandung dalam darahnya yang sangat diperlukan bagi penghidap penyakit tertentu yang jarang dijumpai.

“Saya berdarah “O” namun jenis platelet darah itu istimewa kerana jarang jumpa. Sekitar tiga tahun lalu, saya dimaklumkan kakitangan perubatan makmal darah bahawa di Kuala Lumpur, hanya ada dua individu termasuk saya yang mempunyai darah sedemikian.

“Saya diberitahu darah macam saya susah didapati, yang mana ia sangat diperlukan oleh pesakit dengan jenis penyakit yang ‘special’ (jarang berlaku) yang saya sendiri pun tak tahu penyakit apa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Apresiasi Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Kata Nazran, kemahuan menderma darah tercetus daripada kesedaran selepas menonton banyak filem yang berkaitan masalah kekurangan darah.

Namun lama-kelamaan ia menjadi seakan rutin untuk sentiasa sihat dan cergas selain dari untuk menambah ‘saham’ pahala.

“Pertamanya motif derma darah adalah untuk menyelamatkan mangsa, keduanya untuk kesihatan, dan ketiga ianya adalah untuk amal jariah yang sudah semestinya dapat pahala,” katanya.

Bercerita lanjut, bapa seorang anak yang menetap di Puncak Alam, Selangor itu berkata, sewaktu negara dilanda pandemik Covid-19 lalu, dia masih menabur bakti dengan lebih 10 kali mendermakan darah kepada Pusat Darah Negara (PDN) apabila dipanggil.

“Semasa itu PDN perlukan dan minta saya datang segera kerana situasi masa itu kekurangan platelet untuk agihan ke hospital-hospital. Kerana kepercayaan tanggungjawab sesama muslim, membuatkan saya pergi juga (menderma darah),” katanya.

 

Loading...
Terkini