comscore
Tumpuan :
Nasional

Jasad Karupaiya dibawa ke Krematorium Berapit

Orang ramai hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Karupaiya, di Taman Bayam, Lunas. FOTO NSTP/Danial Saad

KULIM: Jasad Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Padang Serai, M Karupaiya, 69, yang meninggal dunia semalam, dibawa dari rumahnya untuk upacara pembakaran di Krematorium Berapit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, jam 2.15 petang hari ini.

Terdahulu, upacara sembahyang dilakukan di rumahnya selama kira-kira dua jam bermula pada jam 11 pagi.

Jasad mendiang kemudian dibawa menaiki van dari kediamannya di Taman Bayam, Lunas dengan turut diiringi lima kepala kontena milik syarikat logistik dan pengangkutan yang diusahakannya.

Mendiang yang juga anak jati Kulim itu meninggalkan isteri, N Usah Devi, 47 yang bertugas sebagai guru serta tiga anak.

Karupaiya dilahirkan pada 4 Februari 1953 pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum bersara sebagai Pegawai Waran 1 dan disifatkan sebagai insan berdisiplin serta berdedikasi.

Karupaiya disahkan meninggal dunia jam 2.27 petang semalam akibat komplikasi jantung ketika dirawat di Hospital Kulim selepas dimasukkan ke wad hospital terbabit sejak Isnin lalu.

Mendiang adalah bekas Ahli Parlimen Padang Serai selepas memenanginya buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)dengan majoriti 8,813 undi.

Pada PRU-15 kali ini, mendiang berhadapan pertembungan enam penjuru membabitkan Hamzah Abd Rahman (PEJUANG), Datuk Sivaraj Chandran (Barisan Nasional), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Ananda Ak (Bebas).

Susulan kematian Karupaiya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat khas esok bagi membincangkan penetapan tarikh penting urusan PRU-15 di kerusi Parlimen Padang Serai dan satu kenyataan media akan dikeluarkan selepas mesyuarat itu.

Sementara itu, pekerja syarikat logistik dan pengangkutan diusahakan mendiang, T Sanmugawelu, 46, berkata dia antara insan yang berada di sisi ketika Karupaiya ketika menghembuskan nafas terakhir.

Beliau yang juga pengarah operasi di syarikat logistik dan pengangkutan terbabit sangat menghormati mendiang yang dianggapnya sebagai ‘sifu’.

“Saya mengenali mendiang sejak 17 tahun lalu dan mempelajari selok belok perniagaan dalam bidang logistik ini daripadanya.

“Bayangkan, daripada langsung tidak mengetahui apa-apa, mendiang menurunkan ilmu kepada saya dalam perniagaan logistik dan pengangkutan ini yang kekal hingga sekarang,” katanya.

Katanya, dia juga kagum dengan semangat serta disiplin mendiang yang memulakan perniagaannya dengan hanya sebuah lori sehingga mampu memiliki lebih 50 kontena.

“Lori pertama dibeli mendiang masih disimpan sehingga sekarang dan ia dijadikan sebagai kenangan buatnya.

“Mendiang yang sangat berdisiplin pernah sekali menegur saya kerana tiba lewat di tempat kerja.

“Sejak ditegur, saya tidak pernah lewat tiba di pejabat, malah langsung tidak pernah mengambil cuti sakit (MC) selama 17 tahun sepanjang bekerja dengan mendiang,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini