Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
SEPANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang menyiasat bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, keterangan individu yang didakwa sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low itu tertumpu kepada jenayah rasuah dan aktiviti pengubahan wang haram.

“Kita mula menyiasat dia sejak 4 September lalu (Isnin). Setakat ini, pegawai penyiasat memerlukan tiga hari (untuk mengambil keterangan). Jika ada keperluan (menambah bilangan hari), kita akan meminta pihak polis membantu kita,” katanya.
Berita berkaitan: Jasmine Loo: SPRM tunggu siasatan PDRM selesai
Beliau ditemui selepas melancarkan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah peringkat kebangsaan kali ke-2 tahun 2023, di sini hari ini.
Jelasnya, Jasmine tidak perlu ditahan di bawah suruhanjaya berkenaan memandangkan dia kini di bawah tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jasmine diserahkan kepada SPRM untuk diambil keterangan setelah siasatan polis selesai.
Terdahulu media melaporkan, Jasmine ditahan polis selepas hadir menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama peguamnya pada 7 Julai lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, semua rampasan itu diperoleh hasil pendedahan Jasmine ketika memberikan keterangan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.
Mengulas lanjut, Azam berkata, SPRM dan PDRM akan terus melaksanakan usaha membawa pulang aset 1MDB setelah ia dikenal pasti.
“Saya beri jaminan daripada siasatan kita, saya tidak pasti sama ada terdapat banyak lagi (aset). Jika ada, kami akan melakukan yang terbaik untuk membawa pulang wang dan aset berkenaan,” katanya.
Ditanya usaha menjejaki Jho Low semakin hampir susulan perkembangan siasatan terhadap Jasmine, Azam berpandangan, ia masih jauh lagi.