KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk ‘menghantar’ bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan kepada pihaknya.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya kini menunggu siasatan PDRM terhadap individu yang didakwa sekutu rapat Low Taek Jho atau Jho Low itu selesai sepenuhnya.
Katanya, terpulang bila pihak berkuasa itu mahu menyerahkan laporan siasatan terhadap Jasmine Loo.
“Ya (dihantar kepada SPRM pada bila-bila masa). Saya terpulang kepada siasatan polis selesai,” katanya.
SPRM dan beberapa agensi penguatkuasa negara sebelum ini dilaporkan sedang giat berusaha menjejak dan mengesan aset milik bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo dalam melakukan pemulihan aset membabitkan dana 1MDB yang diseleweng di dalam dan luar negara.

Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM dijangka akan melakukan banyak rampasan berkaitan siasatan 1MDB susulan penahanan Jasmine Loo pada 7 Julai lalu.
Artikel berkaitan : Jasmine Loo diserahkan kepada SPRM selepas selesai siasatan PDRM
Beliau berkata, wanita itu juga memberi kerjasama yang sangat baik kepada PDRM dan pihaknya masih meneruskan siasatan terhadap Jasmine Loo di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Jasmine Loo dikatakan antara sekutu rapat Jho Low yang terbabit dalam skandal kewangan 1MDB, dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.
Beliau ketika ini dipercayai direman di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi ibu negara.
Bloomberg sebelum ini melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu pengarah eksekutif Casey Tang dan Jasmine Loo berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.
Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low, Jasmine Loo, Casey Tang, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan sekutu rapat Jho Low, Eric Tan Kim Loong.
Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.