comscore
Tumpuan :
Nasional

Jatuh dari siling cuba menyorok daripada Imigresen

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Bangladesh terjatuh dari siling bilik sewanya ketika cuba menyembunyikan diri dari ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Pendatang asing tanpa izin (Pati) itu antara 63 individu ditahan JIM Kuala Lumpur kerana tiada dokumen sah, bekerja tanpa permit atau menjaja secara haram di kawasan kaki lima sekitar Flat Jalan Abraham, di sini semalam.

Seramai 102 warga asing dan tiga individu tempatan disyaki majikan atau pemilik premis perniagaan diperiksa menerusi Ops Belanja dan Ops Pintu di kawasan ‘pekan’ yang dibanjiri warga asing terutama dari Bangladesh itu.

Harian Metro yang mengikuti operasi selama kira-kira dua jam mendapati lokasi yang terletak berhampiran kawasan segitiga emas itu menjadi tumpuan buruh asing yang bekerja di pusat-pusat membeli belah dan tapak pembinaan di sekeliling ‘pekan’ berkenaan.

Selain bekerja, ada juga warga asing yang mengusahakan premis kedai makan, dan kedai runcit bagi memenuhi keperluan serta cita rasa lidah warga asing berkenaan.

Bagaimanapun ketika disoal, tiada satu pun daripada warga asing terbabit mengaku sebagai pemilik perniagaan, malah semua mereka mendakwa hanya bekerja ‘makan gaji’ dengan majikan warga tempatan.

“Bukan, saya bukan tauke. Sini kedai Melayu punya, saya bekerja sahaja dapat gaji dalam RM2,000 satu bulan.

“Di sini jual sayur-sayuran kami dapat ambil stok dari Pasar Borong Selayang. Ramai pelanggan daripada kawan-kawan (warga asing),” kata seorang Pati ketika ditemui di lokasi, di sini, semalam.

Tinjauan Harian Metro di beberapa unit rumah di kawasan itu mendapati rata-rata warga asing terbabit dikenakan sewa bermula RM150 seorang atau RM500 bagi sebuah bilik kecil yang didiami antara tiga ke empat orang.

Bagaimanapun tinggal di dalam ruangan partition yang sempit dan keadaan tempat tinggal kotor, dipenuhi sampah dan berbau busuk tidak sedikit pun mengganggu golongan warga asing berkenaan mungkin sudah terbiasa atau terpaksa kerana kesempitan wang.

“Saya ada permit kerja sektor pembinaan tetapi sudah beberapa bulan tiada gaji selepas projek siap. Sekarang sedang menunggu projek baru daripada majikan.

“Ada kawan-kawan terpaksa kerja di sektor lain daripada permit kerana terpaksa untuk mencari wang selepas beberapa tiada kerja,” dakwa Aminur, salah seorang Pati warga Bangladesh yang ditemui.

Flat tua itu seolah-olah kebal kerana masih teguh berdiri dan bernyawa dengan lambakan warga asing di situ walaupun sudah beberapa kali digempur pihak berkuasa berikutan aduan daripada orang ramai.

Sementara itu, Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, kawasan itu memang dibanjiri warga asing namun bukan semua daripada mereka adalah Pati malah ramai ahli komuniti di situ memiliki dokumen perjalanam yang sah.

Katanya, serbuan bermula jam 6 petang itu dijalankan susulan risikan pihaknya selama dua bulan dan menahan 63 Pati kebanyakannya atas kesalahan salah guna pas.

“Tumpuan kita lebih kepada peniaga di tepi jalan dan warga asing yang bekerja secara tidak sah. Sebanyak 63 Pati ditahan kesemuanya lelaki terdiri daripada 51 warga Bangladesh, Myanmar (sembilan), dan Indonesia (tiga).

“Pemeriksaan mendapati majoriti warga asing mempunyai permik kerja pembinaan namun ada antara mereka tiada kerja mungkin kontrak tamat atau ditinggalkan majikan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini