
Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Satu jawatankuasa ditubuhkan bagi membincangkan terma dan syarat susulan keputusan dasar Kabinet melanjutkan kontrak Bestinet Sdn Bhd (Bestinet) untuk tempoh tiga tahun lagi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jawatankuasa tersebut diketuai Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali yang terdiri daripada beberapa perwakilan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurutnya, jawatankuasa berkenaan akan membincangkan terma dan syarat syarikat yang memperkenalkan teknologi keselamatan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).
“Jawatankuasa ini membincangkan terma kontrak bermula daripada keputusan dasar yang sudah dibuat selain memasuki proses perbincangan dengan syarikat berkenaan dan membina beberapa terma kontrak untuk mendokong beberapa objektif.
“Pertama, untuk membawa kepada empat prinsip asas iaitu mempercepat proses permohonan, untuk mengurangkan kos migrasi, akan ada aspek dari segi kebajikan pekerja asing yang berada di negara ini termasuk soal kepentingan majikan menggajikan (pekerja asing),” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kontrak Bestinet kemungkinan akan disambung selepas berakhir pada 31 Mei lalu.
Laporan Ketua Audit Negara 2022 yang diterbitkan tahun lalu mendedahkan bahawa FWCMS mempunyai banyak kelemahan yang berpotensi dimanipulasi, dengan contoh konflik kepentingan dan pelanggaran tadbir urus serta kawalan.
Ketua Audit Negara juga tidak dapat menemukan kaedah yang jelas tentang bagaimana ia dapat dilaksanakan.
Walaupun sudah tujuh tahun beroperasi, masih tiada perjanjian ditandatangani antara kerajaan dan Bestinet, yang menyebabkan hak kerajaan tidak dapat ditentukan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.