Tumpuan :
Nasional

Jawatankuasa RTG baharu diumum tahun depan

KUALA LUMPUR: Struktur jawatankuasa projek Road To Gold (RTG) yang baharu akan diumumkan tahun depan bagi menyesuaikan dengan kitaran Sukan Olimpik pada masa hadapan, menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

KBS dalam kenyataan hari ini turut memaklumkan program sokongan RTG dan Fast Track untuk atlet akan diteruskan seperti biasa.

“(Menteri Belia dan Sukan) Hannah Yeoh mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa (terdahulu) atas komitmen dan sokongan untuk memastikan program itu mendapat sokongan terbaik kepada atlet yang berada di bawah jagaan mereka,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, program RTG yang ditubuhkan pada April tahun lepas dipuji oleh atlet dan jurulatih kerana sokongan menyeluruh yang diberikan sepanjang persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

“Jurulatih dan atlet meminta agar program ini diteruskan hingga LA2028 (Sukan Olimpik Los Angeles 2028) untuk mereka membuat persiapan dengan cara terbaik dan RTG berjaya mendapatkan dana RM10 juta melalui Belanjawan 2025 baru-baru ini.

“Pengarah kejurulatihan badminton negara, Rexy Mainaky dan jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley, kedua-duanya berkata program RTG sangat berharga untuk atlet mereka dan mahu ia diteruskan demi kebaikan sukan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Rabu lepas, Jawatankuasa RTG bersidang buat kali terakhir tahun ini untuk menutup akaun bagi kitaran RTG.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Hannah dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Untuk rekod, akaun RTG bagi 2023 sudah diaudit Jabatan Audit Negara (JAN) sebagai sebahagian daripada penyata kewangan Majlis Sukan Negara (MSN) 2023 dan diisytiharkan bahawa laporan kewangannya adalah teratur.

Jumlah perbelanjaan RTG 2023 adalah RM4.083 juta seperti yang diaudit JAN manakala perbelanjaan RTG untuk 2024 berjumlah RM13.2 juta seperti yang dinyatakan dalam Parlimen pada 7 Nov lepas.

“Perbelanjaan ini akan diaudit oleh Jabatan Audit Negara selepas tamat tahun ini,” menurut kenyataan itu.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini